Oleh Mohd Fauzi Abdullah


Apabila diberitahu destinasi penulis ke Chubu, wilayah tengah Jepun, hati tertanya-tanya di mana tempat itu kerana sebelum ini memang tidak pernah mendengarnya kecuali Tokyo atau Osaka.

Pakej pelancongan Muslim anjuran Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) itu ternyata membuatkan penulis tidak sabar untuk melihat kawasan menarik di Chubu.

Lebih membuat penulis teruja apabila antara tempat menarik yang kami akan lawati ialah Gunung Tateyama setinggi 3,015 meter dan Taman Negara Chubu Sangaku yang mempunyai koridor salji Tateyama Kurobe Alpine Route.

Kami berlepas dari Lapangan Terbang Singapura dan perjalanan mengambil masa lapan jam sebelum mendarat di Lapangan Terbang Nagoya (Chubu Centrair International Airport, Nagoya).

Di Nagoya, kami dibawa di sekitar bandar raya itu termasuk tempat yang menyediakan makanan halal dan surau untuk memudahkan pelancong beragama Islam.

Apabila diberitahu kami akan bertolak ke Tateyama untuk menikmati keseronokan di koridor salji, penulis seperti mahu melompat gembira kerana tidak sabar untuk menjejak kaki ke tempat itu.

Selepas sejam perjalanan dengan bas dari Chubu, kami tiba di Tateyama yang dikelilingi dengan panorama indah termasuk Gunung Tateyama yang diliputi salji.

Untuk tiba di puncak, pelancong hanya dibenar menggunakan pengangkutan awam, antaranya bas troli terowong, kereta kabel, kereta kabel bawah tanah dan bas ulang alik.

Sebaik melangkah ke koridor salji Tateyama Kurobe Alpine Route yang dikatakan antara paling cantik berbanding koridor salji lain di seluruh dunia, penulis bersama rakan berjalan-jalan untuk menikmati panorama indah itu dalam suhu 15 darjah Celcius.

Ketika itu musim bunga dan suasananya berwarna warni.

Kami amat teruja apabila berdiri di tengah-tengah laluan dengan dinding salji setinggi kira-kira 13 meter.

Pemandu pelancong memaklumkan, ketika musim sejuk ketinggian dinding itu boleh mencecah sehingga 18 meter dan laluan perlu dibersihkan dengan jentera penyodok bagi memudahkan perjalalanan.

Penulis tidak melepaskan peluang bermain ais bersama rakan dan merakam gambar untuk kenangan peribadi.

Selepas itu, kami ke stesen Morudu untuk melihat pemandangan indah di kawasan setinggi kira-kira 2,450 meter dari paras laut. Anda boleh melihat kolam Mikurigaike yang airnya hijau kebiruan.

Jika mengunjungi gunung itu, jangan melepaskan peluang ke Empangan Kurobe iaitu empangan tertinggi di Jepun yang berada pada paras 1,470 meter. Empangan setinggi 186 meter itu boleh menampung sehingga 200 juta meter padu air daripada Taman Negara Chubu Sangaku.

Di kawasan ini juga terletak perkampungan tradisional Shirakawago yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1995.

Berada di sini, kita pasti merindukan suasana kampung selain menghirup udara segar. Penulis berpeluang menikmati makanan tradisionan Jepun iaitu 'gujyohachiman'.

Di Chubu, penulis tidak melepaskan peluang melawat Daio Wasabi Farm untuk melihat tumbuhan hidup subur di atas permukaan air. Sekali pandang seperti daun labu.

Kebersihan amat diberi perhatian dalam kalangan masyarakat Jepun malah air sungai yang mengalir jernih di ladang itu membolehkan aktiviti riadah seperti berkayak.

Penulis juga dipelawa merasai aiskrim berperisa wasabi dan terpaksa menjamahnya walaupun kurang berminat dengan aiskrim.

Lokasi menarik lain yang dikunjungi penulis ialah Muzium Toyota, Masjid Nagoya, Takayama Old Town dan pusat membeli-belah di Karuizama Prince Outlet.

Destinasi yang menarik perhatian penulis di Chubu ialah di Shiraito No Taki Falls yang dikenali sebagai 'white straits'. Air putih jernih yang mengalir keluar daripada celah batu adalah keajaiban kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:58 AM