GABUNGKAN alam semula jadi dan hiasan taman dalam warna terang.
GABUNGKAN alam semula jadi dan hiasan taman dalam warna terang.
SILJA lebih gemar menjadikan sumber alam seperti akar pokok untuk menghiasi landskap binaannya.
SILJA lebih gemar menjadikan sumber alam seperti akar pokok untuk menghiasi landskap binaannya.
SENI taman diperkemaskan dengan kehadiran beberapa sumber alam.
SENI taman diperkemaskan dengan kehadiran beberapa sumber alam.
SABINE (kiri) dan Silja mempunyai persepsi tersendiri setiap landskap.
SABINE (kiri) dan Silja mempunyai persepsi tersendiri setiap landskap.
JOEL mempunyai prinsip tersendiri berkenaan dunia landskap.
JOEL mempunyai prinsip tersendiri berkenaan dunia landskap.
SUDUT keindahan olahan Sabine yang mementingkan aspek ketenangan dan keharmonian.
SUDUT keindahan olahan Sabine yang mementingkan aspek ketenangan dan keharmonian.
PASU besar putih dihiasi bunga dan tanaman pilihan ini antara idea seni taman Joel.
PASU besar putih dihiasi bunga dan tanaman pilihan ini antara idea seni taman Joel.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Keindahan landskap dikatakan mengungkapkan nilai seni luar biasa yang lahir secara semula jadi.

Menggabungkan elemen alam, ornamen atau hiasan, konsep landskap yang cuba diterjemahkan nyata di depan mata.

Apabila memperkatakan dunia alam atau landskap, nama seperti Joel Marc Frappier, Sabine Calame dan Silja French begitu sinonim dengan perkongsian idea hebat seni dalam taman.

Peluang menemu bual tiga pakar landskap itu di Putrajaya, baru-baru ini menyingkap pelbagai keunikan elemen alam atau material ciptaan manusia yang sesuai sebagai pelengkap taman jika kena kombinasinya.

“Saya melihat seni dalam taman atau landskap sebagai sesuatu yang menakjubkan apabila kita berpeluang meletakkan idea sendiri untuk menikmatinya sepanjang masa.

“Seni itu juga bergantung kepada persepsi masing-masing, ada memandang satu binaan landskap itu ‘biasa-biasa’ saja dan mentafsir ia sebagai panorama unik luar biasa.

“Dalam merealisasikan idea seni dalam taman, anda tidak seharusnya terlalu terikut dengan gaya penataan orang lain kerana sentuhan peribadi lebih bermakna,” kata Joel.

Berasal dari Kanada dan berusia 51 tahun, ia bukan halangan besar berkongsi idea landskap malah dia sering menyertai pelbagai festival landskap dan bunga di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Kepakaran itu membuatkan Joel dilantik pengajar dan melakukan demonstrasi gubahan bunga dan landskap.

Bagi Sabine, seni dalam setiap taman mempunyai perlambangan yang sering dikaitkan dengan karakter dan gaya hidup.

“Bukan soal keluasan taman tapi jika suasana tenang dan terjaga, ia pasti memberi suasana menarik.

“Ditambah kehadiran pelbagai bunga segar mengikut konsep taman, karakter penghuninya dapat dikesan menerusi seni dalam taman itu,” katanya yang berasal dari Netherlands.

Sabine, 45, meminati dunia landskap dan bunga-bunga segar sejak berusia 13 tahun dan bermula sebagai pengajar, kini dia digelar pakar landskap dan bunga.

“Disebabkan taman membawa karakter atau personaliti dan gaya hidup penghuninya, kombinasi seni dalam taman perlu dipelbagaikan mengikut kesesuaian,” katanya.

Di samping itu, Silja, 51, turut menjadi antara pakar landskap antarabangsa yang tidak kurang hebatnya.

Anak kelahiran Jerman ini berjinak dengan dunia tanaman sejak kecil apabila sering membantu keluarga di kebun ibunya Margaret Woh­lleben.

“Gabungan elemen alam seperti akar dan ranting pokok membentuk pagar atau hiasan taman sudah tentu memberikan persepsi keindahan yang menzahirkan siapa anda.

“Tidak menjadi sesuatu yang pelik jika latar landskap anda diselitkan dengan beberapa ormanen atau hiasan warna merah terang atau ungu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:03 AM