ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat wanita yang terperangkap dalam lif di Zhejiang.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat wanita yang terperangkap dalam lif di Zhejiang.

Beijing: Seorang wanita mati tersepit dalam satu kemalangan lif di Zhejiang pagi semalam.

Ia kes terbaru membabitkan kematian akibat penggunaan lif dan eskalator di China.

Isnin lalu, seorang wanita mati selepas tersepit dengan kepalanya di dalam lif dan badannya di luar di bandar Wuxi di wilayah Jiangsu, timur China.

Mayatnya hancur apabila pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian.

Sebelum itu, seorang ibu ‘ditelan’ oleh eskalator di Hubei Ahad lalu dan seorang kanak-kanak pula cedera selepas tersepit dalam tangga berjalan, kelmarin.

Dalam kejadian semalam, wanita berusia 21 tahun itu dilapor memasuki lif di tingkat 16 sebuah apartmen di bandar Hangzhou apabila lif itu tiba-tiba naik, menyebabkan kepala mangsa tersepit di dalam sementara badannya di luar.

Anggota penyelamat berkata, kepala wanita itu terperangkap di tingkat 17 sementara badannya di tingkat 16.

Berikutan kejadian itu, perkhidmatan kedua-dua lif di apartmen itu dihentikan.

Seorang penduduk berkata, penghuni apartmen yang dibina pada 1990-an itu sudah sekian lama menghadapi masalah dengan lif itu.

“Kadang kala pintu lif itu enggan tutup. Ada kalanya ia tidak terbuka,” kata penduduk itu.

Pihak pengurusan apartmen baru-baru ini mengeluarkan notis menyatakan mereka membaiki lif itu hujung tahun lalu.

China menduduki tangga teratas dalam penggunaan dan pengeluaran lif dan eskalator. Menjelang akhir 2014, negara itu mempunyai 3.6 juta lif dan eskalator yang digunakan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 6:52 AM