STUART RAMALINGAM
STUART RAMALINGAM
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak bercadang untuk mendapatkan sentuhan tonggak naturalisasi di bahagian pertahanan tengah kerana bakat tempatan dilihat mampu memikul tanggungjawab di posisi berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, fokus utama Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang diamanahkan untuk membuat penilaian ke atas calon pemain naturalisasi tertumpu di posisi kritikal seperti jentera serangan dan tengah.

“Tapi saya rasa gandingan pemain pertahanan tempatan juga ramai seperti Dominic Tan, Adam Norazlin, Aidil Zafuan Radzak, Shahrul Saad dan mungkin dari liga tahun ini kita akan lihat lebih ramai pemain pertahanan lagi.

“Memang kalau ikutkan posisi itu (pertahanan tengah) penting, tapi mungkin ia tidak terlalu terdesak,” katanya kepada Arena Metro.

Taring skuad Harimau Malaya dijangka bertambah tajam apabila pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi bakal memperkuatkan pasukan terutama menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu di Dubai, 26 Mac depan.

Walaupun Liridon beraksi di posisi tengah menyerang, pemain kelahiran Kosovo yang menerima taraf kewarganegaraan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dua minggu lalu juga mampu menjaringkan gol.

Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), bekas pemain Kedah dan Melaka United yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sudah merekodkan 20 gol dari musim 2015-2019.

Selain Liridon, Malaysia turut diperkuatkan dengan kelincahan Mohamadou Sumareh yang beraksi di bahagian sayap kanan negara.

Sumareh pemain naturalisasi pertama negara yang mula menyarung jersi Harimau Malaya pada 2018.

Ketajaman skuad kendalian Tan Cheng Hoe dijangka bertambah ampuh sekiranya permohonan FAM untuk menaturalisasikan penyerang tulen dari Brazil, Guilherme de Paula diluluskan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan JPN.

Jelas Stuart lagi, ketiadaan pertahanan import dalam Liga-M yang beraksi secara konsisten selama lima tahun berturut-turut juga membataskan pemilihan pemain di posisi pertahanan tengah.

“Saya rasa itu salah satu posisi ‘natural’ untuk kita tengok, tetapi kalau tengok pertahanan tengah pun tak ada siapa nak dekat (lima tahun).

“Sebaliknya ia lebih kepada pemain tengah dan serangan saja yang nak dekat empat atau lima tahun.

“Dulu tak silap saya ada seorang pemain pertahanan dari Terengganu, Vincent Bikana, tapi dia pun nak hampir lima tahun lepas itu dah keluar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:01 AM