Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Tiga pemain kacukan yang kini berpangkalan di Eropah termasuk pemain pertahanan kelab Belgium, Club Brugge, Dion Johan Cools kini berada dalam radar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk diserapkan ke dalam skuad Harimau Malaya.

Kemampuan Cools, 19, pemain pertahanan kanan kelahiran Kuching, Sarawak dan sudah menetap di Belgium sejak kecil terus mendapat perhatian apabila dia meledak gol pertama ketika membantu pasukannya menewaskan kelab gergasi Greece Panathinaikos 3-0 pada perlawanan kedua pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara semalam.

Kemenangan itu membolehkan Club Brugge layak ke pusingan play off yang akan bermula 17 dan 18 Ogos ini.

Menurut sumber rapat FAM, badan induk bola sepak tanah air itu sememangnya sedang memantau perkembangan Cools yang memiliki kerakyatan Malaysia serta dua lagi pemain yang identitinya tidak boleh didedahkan lagi buat masa ini.

“Benar, Cools berada dalam pemerhatian FAM dan kami berminat untuk membawa tiga pemain kacukan yang kini sedang beraksi bersama kelab masing-masing di Eropah.

“Pada saya, jika FAM benar-benar serius membawa masuk pemain ini, ia bukan satu tindakan buruk kerana mereka masih mempunyai pertalian darah dengan Malaysia. Sebagai contoh, Cools masih mempunyai kerakyatan Malaysia walaupun sudah lama mengikut ibu bapanya tinggal di Belgium,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Cools berdarah kacukan apabila ayahnya dari Belgium manakala ibunya kelahiran Kuching memulakan karier bersama Tempo Oversije pada usia 9 tahun sebelum menyertai skuad remaja RSC Anderlecht.

Dia kemudian menandatangani kontrak profesional dengan kelab OH Leuven pada Julai 2014 sebelum dipancing juara liga Belgium 13 kali Club Brugge.

Cools pernah dipanggil menyertai skuad Belgium bawah 19 tahun bagi kelayakan Eropah 2015 namun mengikut peraturan FIFA dia masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya selagi tidak mewakili skuad senior mana-mana negara.

Sebelum ini isu pengambilan pemain naturalisasi kembali dibangkitkan selepas jurulatih kebangsaan Dollah Salleh mengakui kehadiran pemain ini dapat memantapkan pasukan.

Namun proses mengambil pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia tampak lebih mudah dilakukan FAM berbanding mengambil pemain naturalisasi dengan memberikan taraf kerakyatan negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 11:59 AM