MOHD Amin (tujuh dari kiri) bersama ahli jawatankuasa menunjukkan piala pusingan.
MOHD Amin (tujuh dari kiri) bersama ahli jawatankuasa menunjukkan piala pusingan.
Oleh Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: Sebanyak 32 pasukan sekitar Zon Utara bakal berentap bagi merebut Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) 2015 dalam kejohanan liga bola sepak untuk tempoh lima bulan bermula 8 Ogos.

Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSPK merangkap Pengerusi kejohanan Mohd Amin Ali (gambar) berkata, pertandingan edisi kedua itu membabitkan pasukan daripada empat negeri iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang dijangka berakhir pada 27 Disember.

Katanya, dua pasukan, Kesihatan FC dari Kuala Muda dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan bertembung pada aksi pembuka tirai kejohanan di padang bola sepak Kompleks MPSPK kira-kira jam 4 petang.

“Kejohanan kali ini menawarkan wang tunai keseluruhan RM26,000 di samping piala iringan dan medal,” katanya.

Juara membawa pulang RM10,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan medal manakala naib juara menerima piala iringan, medal dan wang tunai (RM6,000).

Tempat ketiga akan memperoleh piala iringan, medal dan RM3,500 manakala keempat piala iringan, medal dan RM2,500.

Bagi tempat kelima sehingga keempat masing-masing bakal menerima RM1,000.

Menurutnya, perlawanan hanya diadakan pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan padang bola sepak Hicom Honda akan dijadikan gelanggang untuk pusingan kedua serta ketiga yang berlangsung secara kalah mati.

Katanya, sambutan diterima kali ini amat menggalakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:06 AM