HOYER (kanan) dan Bach ketika lawatan projek pembangunan badminton negara.
HOYER (kanan) dan Bach ketika lawatan projek pembangunan badminton negara.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Badminton dijangka tidak berdepan masalah untuk kekal dipertandingkan di Sukan Olimpik pada masa akan datang, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach semalam.

Menurutnya, Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Poul Erik Hoyer sudah menjalankan tugas dengan baik terutama dalam meningkatkan integriti sukan itu.

“Kalau dilihat dari sudut itu, badminton tidak berdepan masalah untuk kekal di Olimpik jika mengambil kira usaha yang dijalankan untuk melonjakkan mutu sukan itu,” katanya selepas mengadakan lawatan projek pembangunan badminton di Stadium Juara Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, Olimpik mementingkan atlet muda dan badminton dilihat tidak berdepan masalah melahirkan pemain hebat pada masa akan datang.

“Saya gembira melihat atlet muda diberi penekanan dengan lebih mendalam dan mereka sentiasa menikmati setiap latihan ketika di pusat latihan dengan bantuan jurulatih berpengalaman. Jadi sukan ini mempunyai masa depan cerah untuk dikekalkan di Olimpik,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:25 AM