AINA (dari kiri) Azmil dan Nadeera turut berganding vokal.
AINA (dari kiri) Azmil dan Nadeera turut berganding vokal.
DUET Azmil bersama Dayang dalam lagu Happy (Pharrell Williams).
DUET Azmil bersama Dayang dalam lagu Happy (Pharrell Williams).
PERSEMBAHAN mantap Nadeera dan mentornya, Zainalabidin.
PERSEMBAHAN mantap Nadeera dan mentornya, Zainalabidin.
Oleh Norhayati Nordin

Jika minggu lalu, persaingan Konsert Battle Mentor Legend membabitkan kumpulan A dibarisi Ajai, Amy Search dan Mas Idayu bersama anak didik mereka, kelmarin giliran kumpulan B pula berentap.

Kali ini pertarungan membabitkan tiga mentor terkenal iaitu Ella, Dayang Nurfaizah dan Zainalabidin bersama protege masing-masing iaitu Aina, Azmil dan Nadeera.

Apapun, kelebihan persembahan minggu pertama kumpulan B berpihak kepada Aina dan Ella apabila muncul juara mingguan dengan 74 markah.

Zainal dan Nadeera pula akur dengan 66 markah dan Dayang bersama Azmil pula sekadar mengumpul 50 markah.

Semua markah protege Mentor Legend bagi kumpulan B perlu dikumpul hingga minggu ketiga dan nampaknya ketiga-tiga mentor bersama protege masih memiliki peluang.

Apapun, kedua-dua juri profesional iaitu komposer Azmeer dan pelakon Adlin Aman Ramlie lebih tertarik dengan gaya persembahan Nadeera menerusi dua lagunya, Karena Ku Sanggup nyanyian asal Agnes Monica dan duet dengan mentor, lagu Don't Stop Believin' (Journey).

Menurut Azmeer, pastinya Nadeera sudah menampilkan persembahan terbaik untuk persaingan minggu pertama dan harus memantapkannya lagi pada minggu seterusnya.

"Apapun, saya suka dengan kata-kata semanagat diberikan Zainal iaitu biar tak lawa asalkan menyanyi sedap dan ia dibuktikan Nadeera.

"Keseluruhan persembahan Nadeera sangat baik dan saya yakin dia mampu membuat lebih baik lagi pada minggu akan datang," katanya

Bagi Azmil pula, kedua-dua juri menganggap persembahannya bagaikan ada yang tidak kena meskipun memiliki vokal hebat.

Azmil yang bermula dengan pengalaman kosong apabila beraksi di pentas, disarankan oleh Adlin supaya lebih mengikuti corak persembahan penghibur berpengalaman.

"Saya fikir sebagai peserta yang bermula dengan kosong tanpa sebarang pengalaman, Azmil perlu mendapatkan lebih pendedahan.

"Justeru, saya meminta Dayang supaya lebih memberi peluang kepada dia (Azmil) untuk menonton persembahan penyanyi senior yang sudah berjaya," katanya.

Pada persaingan kali ini Azmil menyanyikan lagu Seribu Tahun dendangan asal Imran Ajmain dan Happy nyanyian Pharrell Williams secara duet bersama mentornya, Dayang.

Sementara itu, Aina yang sememangnya sudah banyak pengalaman dalam nyanyian berjaya menampilkan persembahan menarik dan bertenaga menerusi lagu Sesal Separuh Nyawa dendangan asal Datin Alyah Abu Hasan diikuti lagu A Woman's Worth (Alicia Keys) ketika berduet bersama Ella.

Berdasarkan persembahan Aina, kedua-dua juri tiada masalah dengan kemantapan vokalnya yang matang tetapi imej Aina perlu diperbaiki lagi.

Bagi Adlin, selain vokal imej juga penting kepada seorang penyanyi. Justeru, Aina perlu nampak lebih muda seiring usianya.

Menurut Adlin, jika Ella mampu tampak muda selalu meskipun sudah berusia, Aina perlu mempelajarinya daripada Ella.

Bahkan, Aina juga diminta menyanyi dengan lebih gembira di pentas dan tidak perlu terlalu terikat dengan tenik vokal yang pernah dipelajarinya sebelum ini.

Penilaian markah peserta diwakili sebanyak 50 peratus oleh juri tetap, 20 peratus (juri awam di studio) dan 30 peratus pula (undian SMS). Selaku juara minggu pertama, Aina dan Ella menerima hadiah komputer riba setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:03 AM