Pattani (Thailand): Dua terkorban manakala enam lagi cedera dalam satu letupan bom di pekan Taluban, Saiburi, dalam wilayah Pattani, awal pagi ini.

Menurut sumber polis di Saiburi, serangan bom yang disyaki didalangi puak pemisah yang bergiat di Saiburi itu berlaku pada 6.30 pagi waktu tempatan.

Ketika kejadian itu, tiga anggota tentera itu bersama dua sami Buddha sedang menerima makanan yang didermakan oleh masyarakat Buddha.

Menurut polis, bom buatan sendiri seberat 10 kilogram itu dipasang dalam kotak besi dan diletak di tepi jalan.

Ia diletupkan sebaik saja anggota tentera dan sami tersebut lalu dan kekuatan bom telah mencederakan lapan orang.

Dua orang daripada mereka meninggal dunia di Hospital Somdej Prayuparaj Saiburi, manakala enam lagi di pindah ke hospital Pattani. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 11:17 PM