PELUMBA TCT sedia tampil dengan kayuhan lebih bertenaga.
PELUMBA TCT sedia tampil dengan kayuhan lebih bertenaga.
Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Penyertaan sulung Temenggong Cycling Team (TCT) dari Kontinjen Polis negeri pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 tidak menggentarkan pelumbanya bersaing dengan pasukan berpengalaman lain.

TCT menyandarkan harapan kepada pelumbanya yang sebelum ini mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setiausaha TCT Mohd Yazid Abd Kadir berkata, TCT akan menghantar 16 pelumba.

Katanya, sebagai persedian mereka menjalani latihan intensif setiap Selasa di laluan berbukit sekitar daerah itu.

“Apabila mengetahui Melaka menjadi tuan rumah sirkit empat, kami sudah membuat persediaan lebih awal,” katanya.

Mohd Yazid berkata, walaupun TCT masih ‘muda’ selepas ditubuhkan awal tahun ini, pelumbanya sudah mempunyai pengalaman luas dengan menyertai pelbagai kejohanan sebelum ini.

“Kami yakin memberi cabaran hebat kepada pelumba lain nanti,” katanya.

Beliau berkata, kelab itu disertai 37 ahli yang dipengerusi Inspektor Md Yuszaini Md Yusof dan Timbalan Pengerusi Inspektor Mohd Fadzli Othman.

Katanya, penaung kelab itu adalah bekas pelari pecut negara Supritenden Rabuan Pit yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Polis negeri.

“Sejak ditubuhkan, kami sudah menyertai 14 kejohanan di dalam dan luar Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:04 AM