Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Perak berharap mengulangi kejayaan menduduki tempat ketiga Kejohanan Sukan Setiausaha Kerajaan (SUK) Semalaysia di Pulau Pinang mulai semalam.

Ketua Kontinjen Perak Datuk Razali Othman berkata, usaha sudah dilakukan menyediakan pasukan yang berupaya memberi saingan dalam semua tujuh acara disertai.

Beliau yang juga Timbalan SUK Perak berkata, pada kejohanan di Sarawak dua tahun lalu, Perak meraih emas acara golf dan perak dalam bola sepak.

“Kita sudah membuat persiapan dan latihan sejak Ogos lalu dan atlet Perak berada pada tahap terbaik menghadapi kejohanan kali ini,”
katanya selepas menerima bendera negeri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu, pegawai kewangan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Sementara itu, kerajaan Negeri Perak akan mengkaji menubuhkan perbadanan stadium dalam usaha menyelenggara dan mempertingkatkan kemudahan sukan negeri itu.

Abdul Puhat berkata, beliau dan beberapa pegawai kerajaan negeri diminta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meneliti penubuhan perbadanan itu.

“Pada masa ini penyelenggaraan stadium dan kemudahan sukan diletak di bawah tanggungjawab Majlis kerajaan Tempatan (PBT) .

“Ia dilakukan secara separuh masa dan melalui tender menyebabkan keadaan kemudahan sukan itu tidak mencapai tahap dikehendaki.

“Oleh yang demikian kita mahu kaji samada ia boleh dilaksanakan oleh sebuah perbadanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:03 AM