BERNAMA

PADANG Bandaran Parit Buntar akan dijadikan lokasi bagi acara petanque Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 apabila Perak menjadi tuan rumah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (gambar) berkata, pemilihan padang itu dibuat selari dengan inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan setiap daerah di Perak menganjurkan sekurang-kurangnya satu acara sukan semasa SUKMA 2018.

Beliau berkata, ketika ini keadaan permukaan Padang Bandaran memerlukan kerja baik pulih dan kerajaan negeri sedang meneliti keseluruhan kos bagi tujuan itu.

“Ura-ura Padang Bandaran akan dipindahkan ke lokasi lain tidak benar, sebaliknya padang itu akan digunakan sebagai salah satu lokasi acara sukan petanque pada SUKMA 2018,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, kerajaan negeri merancang mewujudkan sebuah padang bola di Tanjung Piandang selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Abdul Puhat berkata, lokasi pembinaan padang itu dicadang dilaksanakan di Pejabat Penghulu Mukim Tanjung Piandang.

“Kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan sawah padi yang kurang mengeluarkan hasil. Kerajaan negeri akan melaksanakan proses pengambilan tanah dan seterusnya membina padang bola yang akan dilengkapi tempat duduk penonton untuk kemudahan penduduk sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 1:07 PM