Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Petaling Jaya: Mayat seorang lelaki yang ditemui disumbatkan di dalam beg pakaian sebelum dicampakkan ke dalam longkang di Jalan Cecawi 6/30, Seksyen 6 Kota Damansara, di sini, dipercayai warga India.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mempunyai ketinggian 155 sentimeter dengan berat badan 46 kilogram.

"Mangas berkulit cerah dan berambut panjang selain berjambang lebat dan mempunyai bulu dada. Pihak berkuasa tidak menemui sebarang dokumen mahupun barang berharga pada mayat mangsa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat juga tidak menemui kesan suntikan BCG pada bahagian bahu mangsa.

Katanya, punca kematian mangsa disebabkan lemas akibat sesak nafas.

Kelmarin, mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira 1 petang selepas tidak tahan menghidu bau busuk di sekitar lokasi kejadian sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dicampakkan ke lokasi kejadian.

Azmi berkata, ekoran kejadian itu polis kini memburu suspek lelaki berusia 30-an berfizikal tinggi serta mempunyai susuk badan sederhana selain berkulit sawo matang.

“Berdasarkan keterangan saksi kejadian, suspek tidak mempunyai misai atau janggut selain dilihat memakai baju T berkolar bulat berwarna kelabu dan berseluar jeans serta berkasut sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 4:35 PM