GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Disebabkan taasub mahu cepat kaya, seorang kerani wanita di sini, rugi RM81,053 selepas diperdaya sindiket yang kononnya mampu membantu dia memenangi nombor ekor bernilai RM700,000.

Kejadian bermula 26 Oktober 2020 selepas wanita berusia 33 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali.

Dia hanya menyedari ditipu apabila langsung tidak menerima wang dijanjikan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa memenangi tiket nombor ekor dan mempelawa mangsa menjadi rakan kongsinya di Thailand.

"Manga bersetuju dengan tawaran itu dan suspek memintanya membuat pelbagai bayaran termasuk caj sembahyang, yuran guaman dan bayaran modal perniagaan bagi mendapatkan nombor ekor itu," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula memindahkan wang pada 26 Oktober hingga 15 Disember lalu dengan keseluruhan 25 transaksi ke dalam tiga akaun berbeza yang bernilai RM81,053.

"Selepas itu, dia diminta untuk memasukkan lagi wang sebanyak RM4,500, namun mangsa enggan dan membuat laporan polis semalam. Dia lambat membuat laporan kerana masih menunggu wang dijanjikan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, siasatan lanjut dijalankan dan pihaknya sudah mengenal pasti pemilik nombor akaun yang terbabit.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran yang meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 10:22 AM