Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen mahu setiap pemain negara menjadikan Terbuka Taiwan yang membuka tirai hari ini sebagai medan terbaik menguji kemampuan diri sebelum beraksi di Kejohanan Dunia.

Jelas Frost, meskipun ia hanyalah berstatus Grand Prix Emas, namun ramai barisan pemain ternama beraksi kali ini sebagai persiapan terakhir ke Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia.

“Anda sendiri dapat lihat barisan pemain yang beraksi pada kejohanan ini bukan calang-calang. Saya boleh katakan Terbuka Taiwan umpama saingan Super Series Premier yang membariskan pemain terbaik dunia.

“Semua pemain ternama mahu beraksi pada kali ini sebab mahu mencari rentak terbaik sebelum ke Kejohanan Dunia,” katanya.

 Begitupun, Frost tidak mahu barisan pemain negara mudah berputus asa meskipun lawan yang bakal ditemui mungkin sukar untuk ditewaskan.

“Contohnya Goh Soon Huat akan bertemu pilihan pertama dan permain terbaik dunia Chen Long seawal pusingan pertama lagi.

“Bagi pandangan ramai, mereka pasti sudah meramalkan dia tidak mampu mencatatkan kemenangan.

“Tapi saya mahu dia memberikan aksi sebaik mungkin ketika perlawanan itu walaupun saya tahu di atas kertas sukar tewaskan Chen Long,” katanya

Ini juga ujian terbaik buat Datuk Lee Chong Wei mengukur keupayaanya selepas memenangi Terbuka AS dan Kanada yang dilihat tidak begitu mencabar buatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:04 AM