ZUR Eda.
ZUR Eda.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Awal Julai lalu, penyanyi popular 1980-an Zur Eda, 50, koma empat hari kerana jangkitan pada buah pinggang yang mengandungi batu karang.

Ia memaksa penyanyi yang popular menerusi lagu Pelitaku dan Kelmarin ini berehat empat bulan daripada sebarang aktiviti seni.

Berasakan sudah sihat sepenuhnya, Zur Eda kini sedia mengegarkan kembali persada seni dengan nyanyiannya.

“Ketika itu buah pinggang saya bengkak dan bernanah kerana ada batu karang di dalamnya. Syukurlah doktor berjaya menyelamatkan buah pinggang saya.

“Ia terjadi kerana saya kurang minum dan buat kerja berlebihan tanpa had.

“Mana tidaknya, ketika Ramadan lalu saya kurang minum kerana sibuk menyediakan beratus-ratus balang biskut raya dan mi kari untuk jualan berbuka puasa. Waktu itu saya hanya tidur pada jam 4 pagi dan bangun jam 6 pagi. Mungkin inilah penyebab saya sakit dan kini saya cukup menjaga kesihatan kerana takut ia berulang,” katanya yang i sibuk mencari lagu untuk single terbarunya.

Bahagia melayari rumah tangga bersama suami Zulkifli Mohd Yusoff serta dua anak mereka, Siti Sarah, 26, dan Mohd Naqib, 19, Zur Eda kini sibuk mengeluarkan produk mi kari jenama Zur Eda Pes Nyonya Kari Mee.

Dalam pada itu, Zur Eda akan berada di Berjaya Megamall, Kuantan pada 1 November ini sempena Siri Jelajah Ekspo Gaya Hidup Islam 2015 dan dia akan menghiburkan pengunjung dengan lagu popularnya seperti Kelmarin, Pelitaku, Lama Tak Jumpa dan Mencintaimu.

“Inilah kesempatan terbaik untuk peminat yang merindui nyanyian saya. Mereka boleh berhibur sambil bermesra dan mendapatkan tandatangan saya,” katanya.

Ekspo yang berlangsung bermula hari ini turut menampilkan Zaiton Sameon, manakala Zul Yahya dan Siti Nordiana turut serta dengan menjual pakaian kepada pengunjung.

Sementara itu, pengurus pameran ICS Integrated Sdn Bhd, Nik Peter Suffian berkata, selain persembahan artis, pengunjung juga boleh membeli pakaian lelaki dan wanita muslim, mendapatkan produk halal serta berurusan dengan perkhidmatan yang berlandaskan syariah.

“Aktiviti lain yang turut dirancang ialah pertunjukan fesyen Islamik, demo masakan halal oleh chef jemputan, pementasan drama Islamik dan lain-lain lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 10:51 AM