PERBANYAKKAN memohon keampunan pada setiap malam Ramadan.
PERBANYAKKAN memohon keampunan pada setiap malam Ramadan.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Satu hadiah teristimewa pada Ramadan ialah Lailatulqadar. Bagi mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, pasti akan berusaha sedaya termampu memburu malam penuh berkat itu untuk mendapat keistimewaannya.

Setiap orang Islam teringin bertemu dengan malam yang penuh berkat itu dan mengetahui petandanya. Namun, bukan semua yang dapat mengetahuinya. Saya sendiri sejujurnya mengakui belum menemui petandanya.

Mengapa? Barangkali kita banyak bergelumang dengan dosa. Mungkin juga amal ibadat kita belum benar-benar mantap dan sebab itulah kita terdinding daripada memahami dan mengetahui petandanya. Namun, tidak bermakna kita harus berputus asa.

Dengan waktu yang masih tersisa untuk kali ini, marilah kita sekali lagi menguatkan azam berusaha untuk mendapatkan malam istimewa itu. Mana tahu pada Ramadan kali ini Allah akan memakbulkan niat dan azam kita.

Mengapakah kita perlu memburu Lailatulqadar itu?

Jawapannya begini. Bayangkan pahala amal ibadat kita pada malam yang mulia itu diberikan ganjaran pahala 1,000 bulan. Memang luar biasa gandaan ganjarannya. Jadi, takkanlah kita mahu melepaskan peluang begitu saja.

Andainya kita mendapatkan malam itu bermakna memang beruntung sangatlah. Apa tidaknya, kita mendapat pahala di sisi Allah sama dengan amal ibadat selama 83 tahun dan empat bulan.

Rasa-rasanya sepanjang hayat pun belum tentu kita mampu meraih ganjaran sebegitu. Itu pun kalau kita dlanjutkan usia sampai 80 tahun.

Semoga Allah mengizinkan kita mendapatkan malam itu kerana apabila mengenangkan pesanan Rasulullah SAW, maka kita tidak wajar membiarkan malam pada Ramadan ini tanpa sesuatu amalan yang boleh menggandakan pahala buat kita.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesiapa yang melakukan ibadat pada malam Lailatulqadar kerana iman dan ikhlas, nescaya diampunkan semua dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu banyak keistimewaan malam berkenaan dan apa yang diberitahu oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya tadi seharusnya memberi suntikan semangat buat kita berlumba-lumba mencari malam berkenaan.

Setiap sesuatu ada tandanya. Kalau hari hendak hujan, kita akan nampak di langit awan tebal sedang berkumpul. Begitu jugalah dengan malam yang berkat ada tandanya, antaranya seperti berikut:

l

Ubay bin Kaab ada memberitahu: “Rasulullah SAW mengatakan bahawa matahari pada pagi harinya terbit berwarna putih tidak bercahaya.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Qadhi Iyadh mengatakan: “Ramainya malaikat yang kembali naik ke langit sehinggakan tubuh dan sayap mereka yang halus menutupi cahaya matahari.”

l

Abu Yah- ya bin Abi Masarrah memberitahu: “Aku pernah melakukan tawaf pada malam ke-27 Ramadan. Secara tiba-tiba aku melihat malaikat bertawaf di atas Kaabah.”

l

Diceritakan oleh Abdah bin Abi Lubabah: “Aku pernah merasakan air laut menjadi tawar pada malam ke-27 Ramadan.”

Bagaimanapun, penjelasan Rasulullah SAW perlu kita tumpukan dalam pencarian Lailatulqadar sebagaimana sabda Baginda SAW mafhumnya: “Malam al-Qadar pertengahan, tidak dingin ataupun panas. Pada pagi harinya matahari terbit berwarna merah pudar.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Kebanyakan ulama bersetuju kemungkinan besar berlakunya Lailatulqadar pada malam ganjil 10 terakhir Ramadan.

Hal ini diambil kira berdasarkan sabda Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari mafhumnya: “Carilah Lailatulqadar pada malam ganjil dari sepuluh malam terakhir.”

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 3:16 AM