RITUAL rendaman kaki dalam bekas tembaga dilakukan terlebih dulu sebelum memulakan sesi rawatan.
RITUAL rendaman kaki dalam bekas tembaga dilakukan terlebih dulu sebelum memulakan sesi rawatan.
MANDIAN bunga dan balutan tubuh menggunakan teh hijau antara rawatan popular di Spa Lex.
MANDIAN bunga dan balutan tubuh menggunakan teh hijau antara rawatan popular di Spa Lex.
LULUR teh hijau yang kaya antioksidan membantu memberikan hasil kulit yang lebih cerah dan halus.
LULUR teh hijau yang kaya antioksidan membantu memberikan hasil kulit yang lebih cerah dan halus.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Teh hijau, sejenis teh daripada daun camellia sinensis banyak manfaatnya khusus untuk mendapatkan kecantikan kulit wajah secara semula jadi.

Sarat dengan antioksida, teh hijau sering menjadi tumpuan dalam kajian penyembuhan dan pencegahan penyakit yang lazimnya bertindak sendirian tanpa memerlukan banyak sokongan daripada bahan lain.

Kajian demi kajian mendapati teh hijau mungkin efektif sebagai pencegah kanser dan berdasarkan Jurnal Nutrisi edisi terkini, pengambilan teh hijau berupaya membantu meningkatkan kapasiti antioksidan dalam darah sekali gus membantu melindungi DNA daripada pengoksidaan.

Menurut kertas kajian yang diterbitkan dalam Biokimia Farmakologi pada 2011 pula, EGCG terbukti menghalang pertumbuhan tumor dalam pelbagai kajian tabung uji yang membabitkan kanser perut, paru-paru, hati, payudara dan usus besar.

Epigallocatechin Gallate atau EGCG adalah sejenis polifenol yang diekstrak daripada teh hijau lalu dikenal pasti sebagai antioksidan berkuasa terhadap radikal bebas.

Justeru, jika teh hijau baik untuk kesihatan tubuh sudah semestinya ia sesuai untuk rawatan tubuh juga, bukan?

Teh hijau didapati membantu kulit meningkatkan rintangan terhadap sinaran UV, selaran mengurangkan kesan rengsa disebabkan selaran matahari.

Di samping itu, kandungan kafein dalam teh hijau merangsang peredaran dan menggalakkan penyahtoksikan lalu membuatkannya antara bahan utama dalam rawatan selulit.

Daripada rawatan wajah ke pedikur, ramai yang mula menjadikan teh hijau sebagai pilihan utama kala memanjakan diri di spa.

Seperti apa yang ditawarkan di Spa Lex, Hotel Grand Lexis, Port Dickson, teh hijau antara pilihan popular untuk perawatan tubuh.

Menurut Pengurus Operasinya Peerada Rakwong, rawatan lulur dan balutan tubuh menggunakan teh hijau amat digemari berikutan hasilnya yang boleh dilihat selepas beberapa sesi.

“Rawatan lulur tubuh teh hijau bukan saja membuang kotoran dan kulit mati, malah sumber antioksidan yang tinggi membantu kulit tampil lebih lembut serta berseri.

“Untuk rawatan ini, daun teh hijau dihancur halus menjadi serbuk lalu dicampur bersama bran beras, kacang hijau dan tepung susu. Rawatan ini me­ngambil masa 45 minit dan sebaiknya dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk kulit yang lebih cerah dan mulus.

“Bagi rawatan balutan tubuh pula, serbuk teh hijau itu disapu rata pada keseluruhan tubuh sebelum dibalut antara 45 ke 60 minit. Rawatan ini sesuai untuk mereka yang mahu menyingkirkan toksik dan air dalam badan. Ia juga sebagai alternatif kepada sauna,” katanya.

Bagaimanapun, pakej rawatan tubuh di spa ini lebih menjurus kepada penyahtoksikan bagi proses relaks menyeluruh.

Rawatan kombinasi kontemporari dan Bali diperkenalkan dalam rawatannya sebagai satu daripada cara penyembuhan holistik.

Sesi rawatan biasanya dimulakan dengan ritual rendaman kaki dalam bekas tembaga. Rasionalnya, kaki membawa kotoran lalu sebaiknya dibersihkan terlebih dulu sebelum memulakan apa jua sesi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 11:00 AM