Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pos Ar Rahnu Sdn Bhd sudah menyalurkan pinjaman sebanyak RM300 juta menerusi transaksi ArRahnu@POS membabitkan lebih 50,000 pelanggan di seluruh negara.

Naib Presiden Kanannya, Abd Razak Mohd A Kadir berkata, jumlah itu dicatatkan sejak ArRahnu@POS mula beroperasi pada Februari 2013 dan pihaknya mempunyai sebanyak 75 rangkaian ArRahnu@POS di cawangan Pos Malaysia di seluruh negara.

Katanya, permintaan bagi aktiviti di ArRahnu@POS sentiasa ada dan pihaknya juga mula menerima transaksi dari luar negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Iran dan Filipina.

“Kami menyasarkan transaksi kira-kira RM250 juta bagi tempoh sehingga 31 Mac 2015 kerana pelanggan selesa dan menunjukkan peningkatan mendapatkan perkhidmatan di ArRahnu@POS.

“Malah, ArRahnu@POS menjadi pajak gadai Islam pertama di negara ini yang memberi perlindungan insurans 100 peratus terhadap barang gadaian pelanggan,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Menurutnya, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk mendepositkan wang yang diterima ke akaun RHB atau Maybank yang menawarkan perkhidmatan mereka di pejabat pos terpilih melalui Perkongsian Perkhidmatan Perbankan.

Abd Razak berkata, kini pelanggan juga boleh melakukan pembayaran di mana-mana ArRahnu@POS di seluruh negara walaupun pajakan dibuat di cawangan lain.

Beliau berkata, antara perkhidmatan lain yang ditawarkan di ArRahnu@POS, termasuk simpanan emas (peti), mencuci emas pada harga hanya RM2 dan penilaian zakat secara percuma.

“Kami menjangkakan untuk membuka lebih banyak ArRahnu@POS di seluruh negara, tetapi ia akan dilakukan secara berperingkat kerana kami perlu mengkaji lokasi dan pasaran terlebih dulu.

“Peruntukan bagi membuka satu cawangan dianggarkan RM250,000 termasuk sistem keselamatan dan bilik kebal. Namun, sekarang apa yang perlu diutamakan adalah untuk menukar minda masyarakat bahawa mereka yang pergi ke pajak gadai adalah orang susah adalah salah kerana sebenarnya mereka memiliki aset yang bernilai iaitu emas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:03 AM