Reezal Merican (tengah) bersama-sama dengan kanak-kanak yang menerima baju raya sumbangan Mydin Mall di Bertam, Kepala Batas, kelmarin.
Reezal Merican (tengah) bersama-sama dengan kanak-kanak yang menerima baju raya sumbangan Mydin Mall di Bertam, Kepala Batas, kelmarin.
Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: MydinMohamed Holdings Bhd (Mydin) tekad mengukuhkan kedudukan sebagai pasar raya yang menawarkan barangan pada harga berpatutan dengan membuka dua lagi cawangan di Sungai Petani dan Alor Star, Kedah tahun depan.

Pembukaan pasar raya berkenaan dijangka membabitkan kos antara RM15 juta hingga RM20 juta dan ia dijangka meningkat mengikut keluasan bangunan yang bakal dibina.

Pengurus Operasi Mydin Wilayah Utara Azmin Saduruddin berkata, ketika ini terdapat tujuh pasar raya besar Mydin di utara dan terbaru di Jalan Baru, Perai, dekat Butterworth yang dijangka beroperasi pada Ogos atau September depan.

Beliau berkata, pembukaan pasar raya di Jalan Baru Perai itu bagi memudahkan penduduk dari taman perumahan berhampiran serta Butterworth dan Bukit Mertajam membeli barang keperluan pada harga berpatutan.

“Cawangan di Jalan Baru itu membabitkan pelaburan hampir RM250 juta dengan keluasan satu juta kaki persegi, sekali gus menjadikan ia pasar raya Mydin yang terbesar di Malaysia dilengkapi pelbagai kemudahan menarik bagi pelanggan membeli-belah.

“Rancangan untuk menambah dua lagi cawangan pasar raya besar Mydin di Sungai Petani dan Alor Star susulan sambutan menggalakkan daripada pengguna yang dilihat gemar berbelanja di Mydin berikutan tawaran harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Perdana di Mydin Mall Bertam, dekat sini, kelmarin. Turut hadir, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengarah Urusan Mydin Bahagian Utara, Saduruddin Gulam Husen.

Sempena program itu, Mydin menyumbang bantuan menyambut Aidilfitri kepada 200 anak yatim dalam kawasan Parlimen Kepala Batas melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Azmin berkata, pengguna beranggapan pihaknya mengadakan promosi pada setiap hari, tetapi sebenarnya harga ditawarkan memang berpatutan dengan kualiti barang.

“Ketika orang ramai mengeluh mengenai kenaikan harga barang, Mydin sepatutnya menjadi pilihan kerana kami mengambil kira kemampuan pembeli dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 6:48 AM