Melihat perkembangan karier selebriti ini SS sangat berbangga kerana pada usia masih muda dia berjaya mengecapi apa yang diimpikan.

Dia juga mempunyai pemikiran dan pandangan luas yang jarang dimiliki anak muda masa kini.

Tidak mustahil dia berjaya beroleh kemenangan seperti yang kita lihat hari ini. Satu demi persatu anugerah berada dalam genggaman atas usaha kerasnya yang tidak putus-putus.

Namun, yang kurang enak SS dengar mengenai selebriti ini ialah mengenai kemenangannya dalam satu anugerah baru-baru ini.

Apabila kita menang pastinya kita akan menyebut nama orang yang dekat dengan kita dan banyak memberi semangat, tetapi tidak pada selebriti ini.

Entah apa yang tidak kena dengannya pada malam itu, cara dia memberi ucapan juga lain macam saja.

SS yang melihat juga tidak menyangka dia seperti kacang lupakan kulit apabila sedikit pun tidak menyebut nama orang yang sudah banyak menabur bakti kepadanya.

SS tahu, sebelum ini selebriti berkenaan pernah dilanda masalah dengan orang sekeliling. Namun, nasihat SS sebagai orang yang terbabit dalam industri ini ke mana saja kita pergi akan bertemu dengan orang sama juga.

Oleh itu, buangkanlah rasa kecil hati anda itu. Tidak perlu di simpan lama-lama. Bak kata pepatah, buang yang keruh ambil yang jernih.

Anggap saja kemenangan anda itu sebagai satu hadiah atas apa yang terjadi. Sentiasalah bersikap positif. Ada hikmah sebalik kejadian yang anda alami.

Apapun, SS ucapkan selamat maju jaya kepada artis berkenaan dan semoga dia akan lebih kreatif dalam menghasilkan kerja seninya.

SS: Sentiasa senyum pada orang yang buat kita berkecil hati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:00 AM