BERPUASA ketika hamil perlu mengikut keadaan kesihatan diri.
BERPUASA ketika hamil perlu mengikut keadaan kesihatan diri.
KANDUNGAN tidak alami kurang nutrisi walau ibu berpuasa, digalak lewat bersahur.
KANDUNGAN tidak alami kurang nutrisi walau ibu berpuasa, digalak lewat bersahur.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Berpuasa penuh ketika hamil pastinya menjadi impian setiap wanita kerana peluang itu bukan datang setiap tahun.

Namun, tahap kekuatan diri dan kesihatan bayi yang dikandung kadang­kala menjadi sebab mengapa ada di antara wanita hamil perlu berbuka puasa.

Mengikut mazhab Imam Syafie, sekiranya dikhuatiri berpuasa itu akan memudaratkan ibu atau bayi atau kedua-duanya, ibu terbabit diwajibkan berbuka puasa dan puasa itu boleh diganti di kemudian hari.

Walau diberi kelong­garan, kajian perubatan mendapati 70 peratus daripada wanita Muslim yang hamil memilih untuk terus berpuasa sepanjang Ramadan selagi mampu.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah berpuasa tidak mendatangkan risiko kepada bayi yang dikandung sedangkan si ibu tidak makan dan minum dalam tempoh lebih 10 jam.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, ramai wanita yang hamil mengambil keputusan tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan bayi dalam kandungan.

“Bagi saya, selagi wanita yang hamil itu masih mampu berdiri dan menjalankan rutin kerja sehariannya, selagi itu dia mampu untuk berpuasa kerana ibadat puasa tidak akan menyebabkan bayi mereka berada dalam bahaya.

“Tidak dinafikan apabila seseorang ibu hamil tidak mengambil makanan atau minuman untuk jangka masa yang agak lama ketika berpuasa menyebabkan mereka menjadi lebih letih,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, hakikatnya, bayi dalam kandungan tidak akan mengalami kekurangan nutrisi walaupun si ibu berpuasa.

“Bayi akan tetap mendapat nutrisi pemakanan kerana nutrisi itu bukan dibekalkan daripada makanan yang diambil tetapi daripada simpanan yang banyak di dalam hati.

“Namun, sekiranya wanita yang hamil merasakan diri mereka tidak sihat, pening, rasa hendak pitam, kabur penglihatan atau tanda membimbangkan, dinasihatkan segera berbuka dan dapatkan pemeriksaan doktor,” katanya.

Sekiranya ibu hamil mengalami tanda seperti di bawah perlulah segera berbuka:

1. Pening, pengsan, lemah atau letih. Cuba berehat selama setengah jam dan jika tiada perubahan segera hubungi doktor anda.

2. Loya atau muntah.

3. Sekiranya usia kandungan melebihi 20 minggu, perhatikan jika terdapat perubahan ketara pada pergerakan bayi anda (tidak bergerak/­kurang menendang).

4. Berasa sangat dahaga atau air kencing berwarna gelap, berbau kuat dan kuantitinya pula sedikit. Ini adalah tanda dehidrasi.

5. Berat badan tidak bertambah atau berkurangan berat badan.

6. Rasa sakit seakan-akan sakit bersalin.

7. Sakit kepala atau demam.

Tip pemakanan Ramadan untuk wanita hamil

- Utamakan mengambil makanan yang berprotein tinggi seperti daging

dan telur kerana protein boleh disimpan di dalam tubuh pada kadar yang lebih lama berbanding kumpulan vitamin yang lain.

- Banyakkan juga mengambil makanan yang berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar supaya mampu menahan lapar.

- Jangan lupa me­ngambil vitamin tambahan ketika sahur bagi mengekalkan kesegaran badan sepanjang hari.

- Lewatkan bersahur. Kalau boleh, bersahurlah hingga ke saat-saat akhir imsak supaya anda tidak cepat berasa lapar pada siang hari.

- Usahakan untuk minum dua liter air masak selepas waktu berbuka hingga ke waktu imsak. Minum sedikit-sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan dehidrasi di siang hari.

- Jika anda penggemar kopi, hadkan pengam­bilannya kepada satu atau dua cawan saja. Ini kerana kafein dalam kopi bersifat diuretik, iaitu akan membuatkan anda kerap kencing.

- Pelbagaikan pilihan makanan berbuka dan sahur, sebaiknya pilih sajian sihat.

- Pilih makanan yang melepaskan tenaganya secara perlahan seperti karbohidrat kompleks, makanan tinggi serat, kekacang dan buah-buahan kering untuk membekalkan tenaga yang berpanjangan.

- Elakkan mengambil makanan yang banyak gula kerana ia akan meningkatkan paras gula dalam darah dengan ­cepat. Kemudian paras gula ini akan turun mendadak yang membuatkan anda berasa pening.

- Makan secara sederhana ketika berbuka. Makan perlahan-lahan. Tahan keinginan untuk makan banyak. Anda boleh makan

lagi selepas menunaikan solat Tarawih atau antara solat Tarawih.

- Elakkan makan makanan berasid atau bergoreng (berminyak) yang boleh membuatkan anda mengalami masalah pedih ulu hati, terutama sebelum tidur.

Wanita hamil yang berpuasa mungkin mengalami kesan sampingan seperti hipoglisemia (paras glukosa dalam darah yang lebih rendah daripada normal), ketosis dan dehidrasi.

Risiko ini dikatakan meningkat jika berpuasa pada awal kehamilan (trimester pertama atau tiga bulan pertama) kerana biasanya pada fasa ini banyak berlaku komplikasi kehamilan

yang kurang menyenang­kan.

Oleh itu, doktor tidak menggalakkan ibu yang berada pada fasa pertama kehamilan untuk ­berpuasa. Bagaimanapun, tiada satu nasihat yang seragam yang boleh digunakan oleh semua wanita hamil yang ingin berpuasa.

Oleh itu, walaupun berasakan badan mereka dalam keadaan baik, ibu hamil yang ingin berpuasa dinasihatkan berjumpa doktor supaya doktor boleh memeriksa keadaan dan keupayaan anda untuk berpuasa.

Namun, dalam keadaan tertentu, doktor akan melarang anda berpuasa sekiranya anda mengalami:

- Kencing manis

- Penyakit hati yang tidak berfungsi

- Lelah yang teruk

- Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal

- Kehamilan kembar

- Risiko kelahiran pramatang

- Masalah lain berkaitan kehamilan yang

serius

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 5:00 AM