Pencapaian pingat perak dalam Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan menyuntik semangat pelumba trek wanita, Fatehah Mustapa untuk memburu kilauan emas dalam beberapa pusingan Kejohanan trek Siri Piala Dunia, November ini.

Bagaimanapun, pelumba berusia 25 tahun itu, berkata dia masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan seperti aspek kayuhan untuk terus melakar kejayaan di peringkat dunia.

“Tahap Piala Dunia lebih lebih tinggi berbanding Sukan Asia dan dengan itu saya perlu bekerja keras, ” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Fatehah dijadual mengambil bahagian dalam Kejohanan Trek Piala Dunia di Mexico, awal November ini.

Untuk rekod, Fatehah meraih perak dalam acara keirin pada kejohanan siri ketiga Piala Dunia di Aguascalientes, Mexico, Januari lalu.

Fatehah adalah satu-satunya pelumba trek wanita negara yang menyumbang pingat perak pada Sukan Asia ke-17 dalam acara keirin individu di Velodrom Antarabangsa Incheon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 September 2014 @ 11:35 PM