Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Negara kita aktif menggerakkan pelbagai langkah demi menjayakan misi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Sejajar dengan hasrat besar itu, kerajaan kini memberi fokus utama kepada penghasilan modal insan yang mempunyai kemahiran tinggi dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Hal itu tentunya lebih dikhususkan kepada bidang sains, kejuruteraan dan matematik.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin berkata, kerajaan berhasrat menyediakan 60 peratus keperluan tenaga mahir dari kalangan generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik bagi memastikan tahap pertumbuhan negara yang berkembang pesat bergerak seiring dengan pembangunan modal insan.

Pada masa kini peratusan golongan muda yang terlatih dalam bidang berkenaan dilihat masih rendah, iaitu kurang daripada 20 peratus. Bagi menjadikan Malaysia benar-benar mencapai tahap negara maju, maka penggemblengan usaha lebih agresif seharusnya diambil menerusi pembabitan institusi pengajian tinggi (IPT) juga universiti awam(UA).

Antara IPT yang dilihat mampu merealisasikan hasrat negara itu ialah politeknik. Ini kerana bidang dan tumpuan pengajian di politeknik lebih terhala kepada kemahiran teknik dan vokasional(TVET). Walaupun bukan berstatus sebagai universiti awam, politeknik yang kini berjumlah 33 buah lebih berjaya menambat hati pihak industri dengan kebolehpasaran graduannya melebihi 80 peratus.

Seperkara yang unik dan istimewanya graduan politeknik itu ialah mereka diberikan pendedahan seawal pengajian lagi dengan hal ehwal dunia pekerjaan di industri. Ini dilaksanakan melalui pendekatan jalinan politeknik dan industri yang rapat sejak dulu lagi. Banyak industri tanpa segan, malah mereka sangat berkeyakinan tinggi untuk membuka ruang dan peluang kepada pelajar politeknik untuk mejalani latihan industri bersama mereka.

Sebagai contoh, hubungan dan jalinan mesra antara Politeknik Muadzam Shah(PMS), Pahang dengan Sunnigdale Tech(M), sebuah syarikat bertaraf global di Bandar Tenggara Johor. Kedua-dua pihak saling bekerjasama padu dalam berkongsi maklumat dan kepakaran demi kebaikan bersama.

Konsep dan falsafah ‘menang-menang’ ternyata berjaya dibina antara PMS khasnya Jabatan Kejuruteraan Mekanikal(JKM) dengan pihak Sunningdale Tech(M) itu. Kualiti tinggi yang dipadu kukuh dengan binaan sahsiah graduan PMS yang berselitkan keinsaniah utuh menarik perhatian pihak industri hinggakan ada sesetengah pelajar semasa semester akhir sudah ditawarkan pekerjaan di kilang berkenaan.

Keputusan peperiksaan semester akhir belum lagi dikeluarkan, namun atas rasa yakin tinggi terhadap kualiti pelajar kejuruteraan mekanikal PMS membuka hati pihak syarikat untuk meletakkan kepercayaan pelajar PMS adalah pilihan terbaik buat mereka. Ini satu pencapaian tinggi yang seharusnya membuka mata semua pihak bahawa graduan politeknik adalah mereka yang mudah memperoleh pekerjaan.

Ibu bapa tidak seharusnya kecewa seandainya anak mereka hanya berjaya menyambung pengajian tinggi di politeknik sahaja. Buanglah sikap negatif dan tanggapan rendah terhadap kewibawaan politeknik sebaliknya yakin institusi itu mampu melahirkan generasi muda unggul yang kaya dengan kemahiran tinggi . Tanamkan dalam jiwa politeknik adalah pilihan terbaik untuk anak-anak kerana masa depan mereka lebih cerah untuk menggapai kerjaya yang menjanjikan pulangan lumayan dan merubah masa depan keluarga.

*Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 10:00 AM