Paris: Lelaki yang disyaki memenggal kepala majikannya sebelum dipamerkan atas pagar dalam serangan di kilang gas di Perancis, Jumaat lalu, mengaku melakukan jenayah itu.

Yassin Salih, 35, memberitahu penyiasat dia membunuh Herve Cornara, 54, di tempat letak kereta sebelum sampai ke kilang di Saint Quentin-Fallavier itu di mana dia cuba meletuskan bahan letupan, Jumaat lalu.

Polis menemui mayat Cornara tanpa kepala di tempat serangan dilakukan, namun tiada mangsa lain.

Adik perempuan dan isteri Yassin turut ditahan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, polis Perancis turut mendapat kerjasama rakan sejawat di Kanada selepas Yassin dikatakan selfie dengan kepala mangsa sebelum menghantarnya melalui aplikasi sembang WhatsApp ke sebuah nombor di Kanada.

Penyiasat Perancis berusaha mengenal pasti identiti penerima mesej berkenaan. Setakat ini, siasatan tidak dapat mengaitkan kejadian itu dengan mana-mana kumpulan radikal atau asing.

Walaupun tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu, perbuatan memenggal kepala lazim diamalkan Negara Islam (IS).

Jurucakap pejabat pendakwa Paris, Agnes Thibault-Lecuivre berkata, suspek pada mulanya engan bercakap, namun akhirnya mengaku perbuatannya.

Sementara itu, ratusan orang menghadiri majlis pengebumian Cornara, 54, yang terkenal aktif dalam aktiviti masyarakat setempat.

Penduduk, Leila Bouri, 24, yang juga jiran Cornara berkata, mangsa baik hati dan tidak pernah membezakan antara orang Islam dengan bukan Islam.

“Dia tidak pernah menolak jika sesiapapun meminta bantuannya.

“Kejadian ini amat mengejutkan bagi saya. Saya juga Muslim dan pada saya perbuatan ini salah serta bertentangan dengan Islam.

“Kita hanya dibenarkan menyembelih kambing, bukan manusia,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 8:01 AM