Kuala Lumpur: Penunggang Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah berdepan permulaan sukar semasa pembukaan latihan Grand Prix Belanda di Litar TT Circuit Assen tetapi tidak menghalangnya mencatat kemajuan dalam perlumbaan yang sangat kompetitif itu.

Penunggang Petronas Raceline Malaysia itu bermula di belakang dan berdepan masalah kawalan serta keadaan litar yang bersuhu sejuk. Beliau menamatkan sesi Latihan Bebas (FP1) dengan catatan masa 1 minit 40.025 saat.

Semasa sesi latihan bebas kedua FP2, penunggang berusia 21 tahun itu berjaya membaiki kedudukan lima tangga dengan catatan 1.034 saat lebih pantas.

Hafizh menamatkan sesi latihan dengan catatan terbaik peribadi 1 minit 38.991 saat iaitu 18 terpantas di belakang pendahulu, Johann Zarco dari Perancis yang mencatat 1 minit 37.670 saat.

“Pasukan melakukan yang terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi pada FP1. Saya mendapat jentera yang lebih mudah dikendali di selekoh,” katanya.

“Bagaimanapun saya tak fikir kami mempunyai kombinasi tayar terbaik lagi. Kami berharap dapat mencatat masa pusingan yang lebih baik esok,” kata Hafizh.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Barry Leong berkata, beliau gembira melihat Hafizh berjaya membaiki pecutan tetapi malangnya pasukan itu tidak mempunyai masa untuk menguji kombinasi tayar.

“Suhu litar naik 10 darjah Celsius lebih panas berbanding masa latihan sebelah pagi dan tidak mudah bagi kru mengatasi masalah tayar dalam tempoh masa 40 minit.

“Bagaimanapun saya yakin Hafizh mampu membaiki kedudukan tetapi dia perlu bersedia berdepan dengan cuaca. Cuaca di litar Assen terkenal dengan tidak boleh diramal dan berharap ia menjadi yang terbaik untuk kita,” katanya.

Seorang lagi penunggang Moto2 Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dari Honda Team Asia yang meneruskan sasaran untuk mengutip mata hujung minggu ini, telah mencatat masa 20 terbaik selepas merekodkan 1 minit 39.079 saat semasa FP2, sekaligus memecah rekod peribadi terbaik 1 minit 39.986 saat di atas litar sepanjang 4.5 kilometer.

“Saya puas hati dengan jentera sedia ada dan berjaya membaiki catatan masa satu pusingan litar sedikit demi sedikit. Saya akan memberi tumpuan kepada pengendalian di sektor satu dan empat yang menjadi titik paling lemah saya. Saya yakin akan dapat membaiki catatan masa,” kata Azlan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:16 AM