SEKOLAH Tahfiz Al-Bayan dikelola bersama Ustaz Bilal dapat pengiktirafan JAIS.
SEKOLAH Tahfiz Al-Bayan dikelola bersama Ustaz Bilal dapat pengiktirafan JAIS.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


“Apabila saya sudah tiada nanti, saya nak tinggalkan dua benda. Di dunia ialah suara nyanyian saya manakala sekolah tahfiz untuk bahagian akhirat,” kata penyanyi rock terkenal Amy Search, 57, me­ngenai hasratnya menubuhkan sekolah tahfiz.

Kini, hasrat Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman itu menjadi kenyataan apabila Al-Bayan School of Quran & Hadith atau Sekolah Tahfiz Al-Bayan yang dikelolanya bersama Ustaz Bilal Mohd Sujak, 27, di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor mendapat pengiktirafan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Amy menerima sijil pengesahan itu yang disampaikan Penolong Pengarah Kanan, Unit Pengurusan Sekolah JAIS, Dr Mohd Kamal Radiman di ibu pejabat JAIS di Shah Alam, kelmarin.

Amy berkata, dia sudah memasang impian untuk menubuhkan sekolah tahfiz sejak beberapa tahun lalu, namun tergendala selepas dia menjadi mangsa tipu.

“Saya mula mengaji dengan Ustaz Bilal sejak tahun lalu. Bermula dari situ, saya berbual-bual dengannya dan melahirkan hasrat untuk menubuhkan sekolah tahfiz sendiri.

“Ustaz tertarik dengan cerita saya dan bersetuju dengan cadangan itu. Alhamdulillah saya gembira apabila hasrat ini menjadi kenyataan dan sudah mendapat pengiktirafan JAIS,” katanya.

Amy berkata, pendaftaran untuk mendapatkan sijil pengesahan dibuat sejak dua bulan lalu dan tarikh pendaftaran Al-Bayan menjadi pengalaman mendebarkan buatnya.

“Saya ikut prosedur biasa. Selepas pendaftaran wakil JAIS hadir meninjau persekitaran sekolah terlebih dulu sebelum memberikan kelulusan. Dengan adanya sijil, saya lega kerana dapat meyakinkan masyarakat mengenai status sekolah ini.

“Kami masih baru dan belum berkembang meluas. Ia bukanlah sekolah yang sudah ada nama, tetapi saya akan besarkan lagi operasinya. Insya-Allah selepas Aidilfitri kami akan berpindah ke lokasi lebih luas dan selesa di Denai Alam, Shah Alam,” katanya.

Al-Bayan mula dibuka sejak tahun lalu dan mempunyai 18 pelajar dalam kalangan kanak-kanak serta remaja berusia 17 dan 18 tahun.

Silibus yang diperkenalkan adalah Bahasa Arab dan pengajian akademik asas seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Amy berkata, setakat ini mereka mempunyai seorang guru Bahasa Arab dan dua guru akademik.

“Dulu saya impikan tempat besar, tetapi tidak jadi kenyataan. Sekarang tempatnya kecil dan sekiranya berjaya, saya ada perancangan yang lebih besar.

Sekarang kami beroperasi di sebuah rumah. Yang penting sekarang ialah kami merancang dan berusaha manakala selebihnya diserahkan pada ketentuan Allah SWT. Keutamaan kami sekarang ialah pencapaian pelajar,” katanya.

Tak ambil untung

Pembabitan Amy dalam sekolah itu bukan bersifat keuntungan kerana dia tidak mengambil wang gaji. Malah, sebahagian tenaga pengajar juga mengajar secara sukarela tanpa gaji.

“Hanya Ustaz Bilal menerima gaji atas kerja yang dilakukan. Pelajar di sini pula bercampur dalam kalangan kanak-kanak biasa dan anak yatim. Ada juga ibu bapa yang hantar anak mereka yang bermasalah ke sini dan ada perubahan positif. Saya nak lihat anak-anak ini belajar betul-betul,” kata Amy.

Sementara itu, Dr Mohd Kamal memuji usaha dilakukan Amy kerana penubuhan sekolah tahfiz satu kerja mulia dan meminta semua pihak menyokongnya.

“Seorang lagi artis yang berbuat demikian ialah bekas pelakon Azmil Mustapha. Dia sudah membuat permohonan, tetapi belum mendaftar. Ini ialah pendaftaran sekolah dan pun boleh sebenarnya untuk mendirikan sekolah swasta dengan syarat yang tertentu.

“Sebanyak 185 sekolah tahfiz yang berdaftar dengan JAIS termasuk Al-Bayan. Kami akan buat pemantauan dari semasa ke semasa terutama sekali dari segi silibus. Kita maklum zaman sekarang banyak perkara yang menimbulkan keraguan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 10:58 AM