SETIAP jentera dimodifikasi dengan kemas dan berkualiti.
SETIAP jentera dimodifikasi dengan kemas dan berkualiti.
Lizam Ridzuan

Sejak dianjurkan tujuh tahun lalu, acara Art of Speed (AOS 2018) semakin matang dari tahun ke tahun dengan mengetengahkan bakat tempatan dalam aktiviti seni binaan khas (custom) untuk jentera dua dan empat roda.

Seperti edisi sebelumnya, AOS 2018 yang diadakan dua hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, minggu lalu, padat dengan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Lebih 45,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat direkodkan dan acara dimulakan dengan sambutan ulang tahun ke-50 Hot Wheels termasuk memperkenalkan rekaan ‘Car Culture 2019’ hasil kerjasama Porsche RWB.

ANTARA kenderaan nadiryang dipamerkan.
ANTARA kenderaan nadiryang dipamerkan.

Selain itu, portal jual beli Mudah.my dengan kerjasama bekas atlet papan selaju negara Pa’Din Musa turut memeriahkan suasana dengan menayangkan motosikal ‘streetcub’ yang kali pertama dipertontonkan kepada umum.

Sempena dengan AOS 2018, pengeluar motosikal seperti Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd mengambil kesempatan melancarkan Ninja 250 Serba Baru dengan rekaan lebih sporty pada harga bermula RM23,071 (tanpa insurans).

Tidak terhenti di situ, pengedar utama motosikal Ducati, Next Bike Sdn Bhd juga memperkenalkan model dua varian Scrambler 1100 yang dijual pada harga RM83,000 bagi varian Ducati Scrambler 1100 Special dan RM85,000 untuk varian Sport.

PELANCARAN Kawasaki Ninja 250 Serba Baru.
PELANCARAN Kawasaki Ninja 250 Serba Baru.

Acara utama iaitu AOS Invitational Bike Build Off 2018 dikuasakan Petronas disertai lapan pembina khas tempatan dan Singapura untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 dimenangi Muhammad Khalid Musa dari Rusty Factory dengan karya jentera BMW R75/6.

Pengasas AOS Malaysia Asep Ahmad Iskandar berkata, tahun ini adalah kelolaan terbaik sepanjang penganjuran dengan kepelbagaian dan kerumitan untuk senarai akhir pemilihan kenderaan yang dipertandingkan.

“Kami menggunakan sepenuhnya lokasi seluas 46,000 meter persegi dengan mempamer pelbagai kenderaan kustom dan vintaj hasil kreativiti anak tempatan selain binaan mereka bertaraf antarabangsa,” katanya.

SENI binaan khas AOS 2018.
SENI binaan khas AOS 2018.

Sebanyak 22 kategori kereta dan 17 motosikal serta pelbagai lagi segmen dipertandingkan yang memaparkan bakat mengubahsuai jentera mobiliti menjadi hasil seni yang unik serta berkualiti.

Selain pameran dan pelancaran, turut diadakan sesi tunggang uji motosikal jenama Indian Motorcycle dan Royal Enfield, perhimpunan kelab motosikal serta gerai jualan pelbagai barangan berkaitan dunia permotoran.

Untuk cabutan bertuah, pengunjung, Shamsudin Yakob memenangi pakej melawat The 27th Annual Yokohama Hot Rod Custom Show 2018 di Jepun manakala Mohamad Nasrudin Abdullah membawa pulang sebuah motosikal C600R Streetcub yang dihasilkan oleh FNG Works.

KREATIVITI jentera dua roda.
KREATIVITI jentera dua roda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 12:10 AM