AB Ghaffar menandatangani plak penajaan sambil diperhatikan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli (kanan) pada Majlis Sidang Media Iftar@KL dan Bicara Ramadan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Putrajaya.
AB Ghaffar menandatangani plak penajaan sambil diperhatikan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli (kanan) pada Majlis Sidang Media Iftar@KL dan Bicara Ramadan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Putrajaya.
Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Barisan artis dan penceramah terkenal akan memeriahkan Malam Kesenian Islam sempena program Iftar@KL 2015 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sepanjang hujung minggu pada Ramadan ini.

Antaranya ialah Ramli Sarip, Rabbani, Hijjaz, Mawi, Imam Muda Asyraf, Habib Ali Zainal Abidin, M Nasir, Datuk Mohamad Kazim Elias, Datuk Siti Nur Bahyah Mahamood, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Opick dan Hafiz Hamidun serta Sepahtu yang bertindak sebagai moderator.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A Tambi berkata, Malam Kesenian Islam adalah satu daripada 11 komponen pengisian aktiviti Iftar@KL 2015 yang dilaksanakan kementerian dengan kerjasama pelbagai agensi dan syarikat korporat.

Beliau berkata, Iftar@KL 2015 adalah kesinambungan daripada program Festival Ramadan yang dilaksanakan selama tiga tahun bermula pada 2012.

“Semua program yang disusun untuk Iftar@KL 2015 akan berlangsung pada 20, 21 dan 28 Jun manakala untuk Julai pula pada 4, 5, 11 dan 12 (setiap Sabtu dan Ahad) di Jalan Raja, Kuala Lumpur berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Pada tahun ini kita menjangkakan kira-kira 300,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa dari Timur Tengah, Korea Selatan, Kanada, Amerika, Australia dan negara ASEAN yang akan berkunjung ke program itu, sekali gus menyemarakkan lagi bulan suci berkenaan,” katanya pada sidang media Iftar@KL 2015 dan Bicara Ramadan di sini, semalam.

Selain Malam Kesenian Islam, terdapat 10 lagi komponen seperti penyediaan dan agihan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampong Baru, Pameran Pelancongan Masjid, Iftar dan Bubur Lambuk di Malaysia, pertandingan nasyid, persembahan nasyid Ramadan dan tazkirah Ramadan.

Selain itu, tadarus al-Quran, majlis berbuka puasa beramai-ramai secara percuma berlatar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad dan solat berjemaah, soal jawab agama dan solat Isyak serta Tarawih berjemaah turut diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 10:19 AM