AFP

Mumbai: Seramai 41 orang mati manakala 21 lagi dalam keadaan kritikal selepas meminum arak buatan sendiri, menurut polis semalam, dalam kejadian terbaru keracunan alkohol di India.

Timbalan pesuruhjaya polis Dhananjay Kulkarni berkata, semua mangsa mula jatuh sakit sejak Rabu lalu selepas meminum arak buatan sendiri itu. Angka kematian dijangka meningkat.

“Cawangan jenayah akan menjalankan siasatan mengenai kes ini dan tiga suspek berusia 30, 47, dan 50 berjaya ditangkap kelmarin,” kata Kulkarni.

Arak buat sendiri diminum secara meluas di India dan kematian akibat meminum minuman keras kerap dilaporkan.

Bagaimanapun, kejadian seperti ini jarang berlaku di bandar besar seperti Mumbai kerana lazimnya terjadi di kawasan perkampungan miskin.

Dhananjay berkata: “Ini kes paling teruk pernah dicatatkan di barat India sepanjang lebih sedekad.”

“Kali terakhir tragedi seperti ini berlaku pada 2004, apabila lebih 100 orang mati akibat keracunan dalam kejadian yang kini dikenali sebagai ‘tragedi arak Vikhroli’.

Semua mangsa kes terbaru itu penduduk setinggan di pinggir bandar Barat Malad.

Januari lalu, lebih 31 orang mati selepas meminum arak buatan sendiri di utara Uttar Pradesh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 8:15 AM