Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Sepanjang 2014, 17,981 kes penyakit tibi direkodkan membabitkan pekerja asing selepas mereka melalui saringan pemeriksaan perubatan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Ser Dr Hilmi Yahaya berkata, sejak 2010, angka berkenaan menunjukkan penurunan dan peningkatan.

"Bagi 2010, 9,255 kes tibi direkodkan membabitkan pekerja asing, ia menurun kepada 7,243 kes pada 2011, meningkat kepada 18,346 kes bagi 2012 dan menurun semula kepada 17,303 kes pada 2013.

"Keberkesanan sistem pemeriksaan perubatan tidak akan berkesan sekiranya kes berjangkit di kalangan pekerja asing tidak dirawat dengan segera selain tidak dihantar pulang," katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Dr Hilmi, 359 pekerja asing yang berdaftar dengan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) turut mendapatkan rawatan di hospital akibat tibi sejak 2011 hingga April 2015.

Dr Hilmi berkata, polisi sedia ada adalah dengan menjalankan pemeriksaan perubatan di fasiliti kesihatan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa negara asal sebelum ke Malaysia.

"Pekerja asing dikehendaki menjalani pemeriksaan perubatan di Malaysia iaitu dalam tempoh sebulan ketibaan serta bagi tahun pertama juga kedua.

"Pekerja asing yang gagal dalam pemeriksaan perubatan akan diisytihar sebagai tidak sesuai untuk bekerja malah tidak akan diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) oleh Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Menurutnya, majikan bertanggungjawab menggaji pekerja asing yang sah dan menghantar pulang pekerja yang dikesan menghidap penyakit berjangkit ke negara asal bagi menguragkan risiko ia berjangkit kepada warga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 6:19 PM