Mustafar melihat warga asing menjalani pemeriksaan biometrik. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Mustafar melihat warga asing menjalani pemeriksaan biometrik. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Iskandar Shah Mohamed


BERMULA Oktober depan, sistem pengecaman cap jari biometrik akan digunakan di lebih 3,000 klinik panel Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) di seluruh negara untuk pemeriksaan saringan kesihatan pekerja asing.

Alat yang turut ditempatkan di pusat x-ray itu berfungsi membuat pengesahan identiti menyeluruh daripada Sistem Imigresen Malaysia (mylMMS) sebelum saringan warga asing berkenaan dapat diteruskan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penambahbaikan sistem biometrik itu dianggap lebih cekap berbanding kaedah pengesahan manual sedia ada sekali gus mengelak berlaku unsur penipuan atau pemalsuan.

"Sebelum ini, kita (Jabatan Imigresen) mengesan kes warga asing yang menggunakan individu lain untuk menjalani saringan kesihatan mereka. Walaupun jumlah itu kecil, ia dianggap serius kerana membabitkan soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Saringan itu penting bagi mengenalpasti warga asing yang menghidap penyakit berjangkit seperti tibi, hepatitis dan penyakit kelamin. Kita mahu hanya mereka yang berkelayakan bekerja di negara ini," katanya selepas melancarkan sistem biometrik itu di Klinik Ajwa, Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA, Datuk Mohd Hatar lsmail.

Mustafar berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 407, 870 warga asing diperiksa pihaknya untuk saringan kesihatan.

"Bagaimanapun, sebanyak 10,618 orang atau 2.6 peratus daripada mereka didapati gagal dalam pemeriksaan itu sekali gus ditolak permohonannya.

Ia antaranya merangkumi 3,129 warga Indonesia, 3,021 warga Nepal dan 1,643 warga Bangladesh. Mereka yang gagal akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 11:59 AM