Pekerja menggunakan pakaian perlindungan membersihkan panggung di Pusat Kebudayaan Sejong, Seoul.
Pekerja menggunakan pakaian perlindungan membersihkan panggung di Pusat Kebudayaan Sejong, Seoul.

Seoul: Dua hospital di Korea Selatan sedang menjalankan rawatan eksperimen ke atas pesakit yang dijangkiti virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) dengan menyuntik mereka menggunakan plasma darah daripada pesakit yang sudah sembuh.

Sementara itu, kementerian kesihatan semalam turut melaporkan empat kes jangkitan terbaru.

Prosedur itu dijalankan atas persetujuan dua pesakit MERS sebagai rawatan tambahan, kata ketua bahagian dasar kesihatan awam kementerian berkenaan, Kwon Jun-wook.

“Tidak cukup asas klinikal mengenai hasil rawatan plasma dalam kalangan pakar di negara ini.

“Namun kementerian mempunyai keyakinan yang mendalam terhadap kakitangan perubatan kami dalam melaksanakan rawatan,” katanya.

Rawatan plasma sebelum ini pernah dijalankan ke atas pesakit Sindrom Pernafasan Akut (SARS) dan menunjukkan beberapa keputusan positif kepada pesakit yang tenat sekaligus membawa kepada penurunan kadar kematian sehingga 23 peratus.

Bagaimanapun, terapi plasma masih belum dicuba secara meluas ke atas pesakit MERS, tambahan pula tidak banyak hasil kajian klinikal yang dilaporkan, kata profesor penyakit berjangkit Eom Joong-sik, di kolej perubatan Universiti Hallym.

Tiga tahun selepas virus MERS pertama menjangkiti manusia, tiada ubat mahupun vaksin yang boleh menghalang manusia daripada dijangkiti.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggelarkan wabak yang sedang menular di Korea Selatan itu sebagai ‘besar dan kompleks’ dengan semua kes MERS yang dilaporkan di negara itu berpunca dari pusat kesihatan.

Sekurang-kurangnya 5,500 orang dikuarantin, sama ada di rumah mahupun pusat kesihatan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:33 PM