Oleh Siraj Mohd Zaini


Kuala Lumpur : Polis memburu empat suspek yang dipercayai terbabit dengan kes pembunuhan seorang lelaki warga Pakistan dalam kejadian di Bandar Tasik Selatan, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, semua suspek yang juga menyewa rumah bersama mangsa menghilangkan diri sejurus polis menemui mayat mangsa dalam keadaan tangan dan kaki terikat.

Katanya, seorang suspek warga tempatan beragama Sikh, seorang warganegara India, manakala dua lagi warganegara Pakistan.

"Hasil siasatan awal mendapati pada malam itu, mangsa bersama tiga orang suspek dan seorang lagi sedang menonton televisyen di dalam rumah terbabit.

  

"Polis kini sedang melakukan gerakan mengesan semua mereka termasuk pintu masuk dan keluar Terminal Bersepadu Selatan (TBS)," katanya.

 Harian Metro Isnin lalu melaporkan mangsa dikenali sebagai Muhammad Aamir Afzal, 46, ditemui sepupunya yang turut tinggal menyewa bersama di pangsapuri berkenaan kira-kira 12.30 tengah hari kelmarin.

  

Difahamkan, mangsa bersama sepupunya berusia 50 tahun baru tiba di negara ini 12 Jun lalu dan menyewa sebuah bilik di pangsapuri berkenaan bersama beberapa lelaki lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 5:14 PM