SAMPEL DNA hanya perlu dilakukan sekali saja untuk mewujudkan profil genetik yang boleh digunakan dalam pelbagai cabang kesihatan.
SAMPEL DNA hanya perlu dilakukan sekali saja untuk mewujudkan profil genetik yang boleh digunakan dalam pelbagai cabang kesihatan.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Masalah jantung, lelah, kegemukan, kanser, hemofilia malah buta warna sentiasa dikaitkan dengan penyakit genetik atau diwarisi.

Selain daripada beberapa faktor lain membabit­kan gaya hidup yang tidak seimbang, faktor keturunan kerap dijadikan salah satu punca kepada masalah kesihatan itu.

Tidak dinafikan tahap asid deoksiribonukleik (DNA) yang sama dalam kalangan ahli keluarga boleh menyumbang kepada masalah itu selain memperlihatkan bagaimana struktur dinamik sesebuah keluarga.

Namun menerusi DNA jugalah pelbagai masalah kesihatan dapat diatasi dengan cara mengenal pasti keperluannya pada tubuh.

Menurut Presiden Persatuan Nursejahtera Malaysia Datuk Dr Rajbans Singh, memahami cara tertentu variasi genetik mempengaruhi risiko terhadap penyakit yang boleh membawa kepada pengurangan kos penjagaan kesihatan dan pendekatan baru untuk gaya hidup lebih sihat.

“Keadaan kesihatan kita selalunya ditentukan oleh genetik dan sebahagiannya pula bergantung kepada tingkah laku serta persekitaran.

“Ada sesetengah penyakit itu sepenuhnya berpunca daripada genetik, tetapi ia masih boleh dielakkan atau dikurangkan peratusan risikonya dengan mengenal pasti DNA individu terbabit.

“Jika seseorang mengetahui mereka mempunyai gen predisposisi atau penggalak kepada penyakit tertentu, mereka pasti lebih berhati-hati dengan gejalanya dan perlu menjalani beberapa ujian klinikal bagi mengetahui risikonya.

“Contohnya, apabila mempunyai sejarah kanser payudara dalam keluarga, ujian genetik perlu dilakukan bagi mengetahui sama ada mereka punyai salah satu mutasi BRCA1 atau BRCA2.

“Jadi dengan cara ini mereka akan lebih waspada dan akan melakukan ujian mamogram secara tetap.

“Bagaimanapun, tidak semua yang mempunyai mutasi genetik ini akan menghidap kanser payudara atau serviks cuma langkah berjaga-jaga perlu dilakukan demi kesejahteraan dan ketenangan hidup,” katanya.

Kata Dr Rajbans, apa yang dilakukan The Laureate ketika ini adalah antara cara membantu individu mengenal pasti risiko penyakitnya menerusi ujian DNA.

The Laureate ditubuhkan di bawah Pusat Pakar Antarabangsa Beacon pada 2014 yang mengkhususkan kepada ramalan penyakit dan pencegahannya, antipenuaan serta perkhidmatan penjanaan semula ke arah kesejahteraan kesihatan.

Setiap pendekatan dilakukan secara peribadi kerana ia bertindak balas kepada keunikan seseorang itu menerusi profil genetik dan sejarah kesihatannya.

“Profil genetik ini berfungsi sebagai langkah untuk mengenal pasti masalah yang mungkin timbul atau faktor penyumbang yang boleh menimbulkan isu kesihatan kronik.

“Dengan cara ini penyakit dapat dicegah, membantu memulihkan kesihatan dan memperlahankan proses penuaan.

“Profil genetik seseorang itu akan diwujudkan selepas sampel DNA diambil. Sampel itu kemudian dianalisis untuk mengenal pasti 54 potensi gen yang menumpukan kepada sistem imuniti, pertahanan selular, kesihatan kardiovaskular, metabolisme dan metabolisme vitamin D.

“Selepas semuanya dikenal pasti, pakar kesihatan akan menentukan jenis diet yang perlu diambil, jenis senaman yang boleh dilakukan, ubatan atau makanan tambahan yang sesuai dan sebagainya.

“Ini bukan saja memberi panduan kesihatan dan keadaan tubuh individu terbabit malah memudahkan pakar perubatan menangani masalah kesihatannya,” ujar Pengurus Pembangunan Perniagaan The Laurette Jocelyn Chia.

Hanya sekali saja ujian DNA dilakukan bagi rekod genetik profil ini dan ia banyak digunakan dalam pelbagai cabang kesihatan bagi membantu pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 12:40 PM