Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Dalam pemeriksaan saraf terhadap lebih 13,000 individu di seluruh negara, tahun lalu didapati 27 peratus daripada mereka berada di pinggir diagnosis neuropati manakala 26 peratus lagi menghadapi kerosakan saraf.

Berdasarkan tinjauan oleh Merck (syarikat terkemuka dalam bidang farmaseutikal) di Lembah Klang tahun lalu, satu daripada dua subjek berusia 21 tahun ke atas menunjukkan tanda-tanda kerosakan saraf seperti rasa bersemut, kesakitan mencucuk, rasa kebas dan sensasi terbakar pada anggota badan.

Saraf yang sihat penting untuk menikmati kebebasan bergerak serta mengalami sensasi penglihatan, bunyi, sentuhan dan rasa.

Walaupun ramai sedar mengenai kepentingan kombinasi gaya hidup sihat, senaman yang berterusan dan diet seimbang, tidak kurang juga yang tidak sedar bahawa saraf sihat turut memainkan peranan penting untuk mencapai kesejahteraan hidup.

Bagi mewujudkan kesedaran terhadap neuropati, Merck menganjurkan taklimat mengenai kesan kerosakan saraf yang tidak dirawat serta bagaimana gaya hidup selain aktiviti seharian mengundang masalah ini.

Pakar Saraf Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Goh Khean Jin berkata, saraf berfungsi seperti penghantar yang menghubungkan otak ke seluruh badan.

“Saraf memberi kesan kepada setiap pergerakan dan sensasi dalam badan kita yang turut merangkumi pelbagai fungsi tidak terkawal seperti denyutan jantung, pencernaan serta pernafasan. Hanya saraf yang sihat membolehkan seseorang bergerak secara bebas.

“Jika saraf rosak, kemampuan deria serta pergerakan kita akan terjejas,” katanya kepada media pada taklimat Kesan saraf yang tidak dirawat serta gaya hidup seharian yang mengundang masalah itu di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tanpa disedari, semua individu berdepan risiko kerosakan saraf disebabkan gaya hidup serta aktiviti seharian yang dapat meningkatkan faktor risiko.

Ada banyak punca gaya hidup seharian kita dapat meningkatkan risiko kerosakan saraf, misalnya duduk terlalu lama di pejabat atau terperangkap terlalu lama dalam kesesakan lalu lintas.

Aktiviti berulang seperti menaip serta memasak juga boleh menyebabkan kerosakan saraf. Tambahan pula, postur yang tidak betul, pakaian terlalu ketat selain masalah obes turut menyebabkan tekanan pada saraf.

Lazimnya penghidap diabetes lebih menyedari risiko kerosakan saraf kerana paras gula yang tinggi dalam darah boleh merosakkan saraf. Namun mereka lebih cenderung memandang ringan kesakitan yang dialami kerana ia tidak menjejaskan kehidupan mereka secara signifikan.

Pengamal Perubatan Merican Dispensary, Melaka, Dr Mohamed Haniff Merican berkata, perhatian patut diberikan terhadap ketidakselesaan yang dialami seperti kesemutan, kesakitan mencucuk, pedih atau sensasi terbakar.

“Semua ketidakselesaan ini adalah cara badan memaklumkan kepada kita sebarang masalah yang memerlukan pemeriksaan. Jangan sekali-kali memandang ringan ketidakselesaan dialami.

“Anda patut berbincang dengan doktor kerana mereka dapat mengenal pasti sama ada ia berkaitan kerosakan saraf kerana jika benar ia wajar dikesan seawal mungkin,” katanya.

Menurut Dr Mohamed Haniff, senaman sederhana, gaya hidup sihat dan diet seimbang yang kaya dengan vitamin B antara langkah penting ke arah saraf sihat.

“Selain itu, anda patut menggalakkan keadaan aktif dan aktiviti berulangan secara berpanjangan di samping menghadiri rawatan susulan jika anda menghidap diabetes,” katanya.

Perkara yang terpenting dalam penjagaan saraf ialah pengambilan vitamin neuropati iaitu vitamin B1, B6 dan B12 yang penting bagi mengekalkan kesihatan saraf serta berfungsi secara kolektif merawat atau memperlahankan neuropati.

Vitamin B menyihatkan serta melindungi sel saraf sekali gus mempertingkatkan fungsi sel-sel berkenaan serta melegakan kesakitan. Vitamin B1 menguatkan saraf serta berfungsi sebagai sumber tenaga bagi saraf manakala vitamin B6 menggalakkan penghantaran impuls saraf selain membantu melegakan kesakitan.Vitamin B12 pula memulihkan saraf dan mengelakkan sel saraf rosak dan penting untuk kesihatan saraf keseluruhan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Bahagian Kesihatan Pengguna Merck di Malaysia, Richard Lee berkata, keputusan tinjauan kesihatan saraf yang dijalankan jelas menunjukkan ramai yang berdepan tanda awal kerosakan saraf.

“Bagaimanapun disebabkan kesedaran terhadap neuropati rendah, ramai tidak mengaitkan simptom dialami dengan masalah ini. Gaya hidup hari ini yang serba-serbi cepat dan sibuk menyumbang kepada kerosakan saraf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:02 AM