RASA sakit di bahagian belakang pastinya mengganggu rutin harian seseorang.
RASA sakit di bahagian belakang pastinya mengganggu rutin harian seseorang.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Rasa sakit-sakit atau ketidakselesaan di bahagian belakang atau berhampiran pinggang pasti menyebabkan individu itu tidak selesa dan sukar untuk melakukan tugas serta rutin harian.

Sakit belakang sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana boleh dikatakan hampir setiap individu mengalaminya tanpa mengenal faktor jantina mahupun usia.

Penyakit ini juga yang kedua paling kerap menyerang manusia selepas penyakit selesema menyebabkan hampir tiada seorang pun terkecuali daripada merasainya.

Namun aktiviti berat yang banyak dilakukan lelaki mahupun wanita dewasa menyebabkan golongan ini dikatakan lebih kerap menghadapi masalah ini.

Justeru, apakah punca sebenar yang mencetuskan seseorang mengalami rasa tidak selesa sehingga menimbulkan sakit belakang?

Pakar perunding dan bedah ortopedik Dr Zamri Ali berkata, dari segi perubatan sakit belakang bermaksud apabila seseorang berasa sakit atau tidak selesa pada bahagian bawah dada dan di sekitar bahagian pinggang.

Menurutnya, pada bahagian belakang tubuh manusia tulang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu toraks, lumbar dan sakrum.

Pada bahagian lumbar inilah terdapatnya lima tulang di mana antara tulang ini terdapat kusyen (disc) yang mempunyai fungsi antara tulang dan sendi.

“Masalah yang sering berlaku terletak pada kawasan lumbar dan sakrum. Urat dan otot berfungsi menguatkan tulang bagi memastikannya berfungsi dengan baik,” katanya.

Dr Zamri berkata, setiap tulang belakang mempunyai empat sendi dan di tengahnya terdapat saraf besar (spinal cord).

“Saraf besar ini berfungsi untuk membawa saraf kecil ke kaki, pada bahagian belakang tepi tulang belakang terdapat lubang untuk saraf kecil terus ke kaki.

“Dianggarkan 90 peratus sakit belakang berpunca daripada sakit urat dan otot,” ujarnya.

Punca paling kerap seseorang mengalami masalah sakit belakang ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

- Slipped disc atau prolapsed disc.

Keadaan ini mengakibatkan sedikit kusyen antara tulang terkeluar dari tempatnya. Apabila ia terkeluar, ia menekan saraf. Saraf yang tertekan menimbulkan rasa sakit dan kebas.

Keadaan ini diumpamakan seperti sarung ku­syen terkoyak dan menyebabkan isinya terkeluar. Keadaan ini berlaku dalam kalangan individu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Antara punca kusyen terkoyak ialah:

- Mengangkat barang terlalu berat

- Pergerakan badan yang tidak sesuai dengan tulang belakang.

- Adakalanya batuk atau bersin yang terlalu kuat juga boleh menyebabkan tekanan dalam perut meningkat. Sehubungan itu ia memberi tekanan pada kusyen.

Selain itu terdapat punca lain yang menyebabkan berlakunya rasa sakit belakang, bagaimanapun ia dikatakan agak jarang berlaku seperti:

- Ketumbuhan

- Kecederaan seperti patah

- Penyakit anky losing spondilitis yang mengakibatkan tulang belakang menjadi keras

- Jangkitan kuman seperti kuman batuk kering (tuberculosis).

- Adakalanya sakit belakang juga berpunca daripada organ yang terdapat di sekeliling seperti buah pinggang, perut, saluran besar darah dan lain-lain.

Tanda-tanda

- Rasa sakit belakang yang dialami oleh individu dalam usia pertengahan biasanya datang dengan tanda akut (secara tiba-tiba).

- Aktiviti seperti me­ngangkat barang yang terlalu berat adakalanya menimbulkan rasa sakit serta-merta atau kecederaan pada otot atau urat.

- Sebaliknya dalam kalangan mereka yang berumur, penyakit spondilosis (kehausan tulang) tidak berlaku secara tiba-tiba, ia biasanya terjadi dalam tempoh beberapa tahun.

Rawatan

- Fisioterapi

- Ubat-ubatan

- Pembedahan

Rawatan ubat-ubatan seperti vitamin bertujuan mengurangkan kesakitan dan bengkak pada saraf.

Manakala fisioterapi pula selain mengurangkan bengkak dan kesakitan, dengan menggunakan traksi ia dapat membantu melembutkan otot bagi melepaskan tekanan pada saraf.

Bagaimanapun, mereka yang tidak merawat kecederaan berkenaan tidak dapat memulih dan mengembalikan kekuatan asal mereka.

Pembedahan bertujuan untuk mengurangkan tekanan pada saraf supaya saraf tidak berasa sakit juga untuk menguatkan tulang.

Ia juga membantu memulihkan tulang yang berubah dari kedudukan asal dan menguatkan tulang bagi mencegah rasa sakit.

Pencegahan

Bagi mencegah rasa sakit pada bahagian belakang ini pelbagai langkah perlu dilakukan antaranya:

- Aktif melakukan senaman bagi mengelakkan tulang belakang menjadi lembut seterusnya menjadi osteoporosis.

- Elakkan daripada sebarang kecederaan pada tulang belakang.

- Pastikan kedudukan yang betul apabila anda duduk, mengangkat barang, berdiri, tidur di atas katil yang sesuai.

Manakala dari segi pemakanan, pengambilan kalsium dapat mencegah tulang jadi lembut. Justeru untuk menguatkan tulang, pastikan anda mempunyai berat badan yang ideal seimbang dengan ketinggian dan tidak terlalu gemuk.

Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan, tulang belakang terpaksa bekerja keras untuk menampung berat badan.

Senaman

Dengan melakukan senaman seperti aktiviti sukan, ia dapat menguatkan otot di samping mengelakkan osteoporosis. Bagaimanapun aktiviti sukan yang dilakukan tidak keterlaluan bagi mengelakkan sebarang kecederaan.

Kehausan pada tulang akan menyebabkan ia menekan saraf, keadaan ini mengakibatkan pesakit adakalanya langsung tidak dapat berjalan.

Kesakitan yang dirasai ini kerana saraf tertekan dan mengakibatkan darah tidak dapat mengalir masuk ke saraf.

Apabila seseorang berjalan atau berlari kita memerlukan darah, bagaimanapun sekiranya darah tidak mengalir ke saraf, ia tidak mendapat oksigen. Kesannya ia menimbulkan kesakitan kerana kekurangan oksigen.

Pada peringkat ini pesakit dinasihatkan supaya menjalani imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) untuk menentukan keadaan sebenar dan rawatan sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:02 AM