SAFEE (tengah) tetap yakin mampu tewaskan Timor Leste.
SAFEE (tengah) tetap yakin mampu tewaskan Timor Leste.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Penyerang negara Safee Sali akui perlu berwaspada aksi pembukaan Harimau Malaya menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Menurut penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu terdapat kebimbangan mengenai tahap kemampuan lawan yang mempunyai beberapa pemain naturaliasi dari Brazil.

“Kita risau dengan lawan dan prestasi sendiri. Saya sendiri jarang melihat permainan Timor Leste. Mereka juga seperti Hong Kong dan Singapura, mempunyai beberapa pemain naturalisasi.

“Tidak banyak maklumat diketahui mengenai mereka namun saya yakin dengan tempoh yang ada kami mampu bersedia,” katanya.

Difahamkan Timor Leste mempunyai sehingga enam pemain naturalisasi dari Brazil termasuk bekas pemain import Selangor Juninho Aparecido.

Bagaimanapun itu bukan alasan untuk skuad negara gagal melakar keputusan positif kerana Safee melihat persiapan skuad kendalian Dollah Salleh berjalan lancar.

“Apa yang penting kita terapkan arahan jurulatih. Serba-sedikit apa yang diinginkan jurulatih menjadi ketika menentang Hong Kong namun dari segi serangan dan jaringan perlu diperbaiki.

“Masalah keserasian tidak akan timbul kerana ramai muka lama dikekalkan dan walaupun ada muka baru, saya yakin dengan tempoh yang ada kami akan bersedia sepenuhnya menentang Timor Leste.

“Penting bagi pemain tahu misi dan corak permainan diterapkan jurulatih serta dilaksanakan dalam permainan bagi cuba meraih tiga mata,” katanya.

Sementara itu Dollah berkata, beliau masih belum memutuskan gandingan di jentera serangan sama membabitkan Safee, Afiq Azmi atau Mohd Amri Yahyah.

Situasi turut kurang menyenangkan apabila Mohd Farizal Marlias dan Junior Eldstal mengalami kecederaan dengan Dollah memantau rapi perkembangan kedua-dua pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:53 AM