PEMAIN negara giat berlatih menjelang pertemuan dengan Timor Leste.
PEMAIN negara giat berlatih menjelang pertemuan dengan Timor Leste.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kelana Jaya: Pengendali negara Dollah Salleh mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang mudah cabaran Timor Leste dalam aksi kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Timor Leste hadir buat kali pertama ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia selepas menyingkirkan Mongolia pada pusingan pertama.

Difahamkan Timor Leste tidak mempunyai liga tempatan, namun kebanyakan pemainnya termasuk pemain naturalisasi beraksi di liga Brazil dan Thailand.

“Situasi itu pastinya menjadikan saingan lebih sukar kerana mereka menguji kekuatan mental dan psikologi.

“Kami perlu berhati-hati, pemain tidak boleh mengambil mudah cabaran mereka kerana kita mahukan tiga mata daripada perlawanan ini. Kami sudah mengkaji kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya.

Pengendali berusia 52 tahun berkenaan turut menegaskan tidak memikirkan jumlah jaringan sebaliknya hanya tiga mata yang diidamkan.

Tambahnya, semua pemain sudah bersemangat menghadapi perlawanan malam ini dan bersedia untuk diturunkan.

“Junior Eldstal memaklumkan dia bersedia diturunkan biarpun dilaporkan mengalami kecederaan kaki namun saya mempunyai Nasir Basharuddin untuk diturunkan sekiranya berlaku apa-apa,” tambahnya.

Dollah dijangka menggandingkan Junior bersama kapten negara Safiq Rahim untuk mengemudi barisan tengah dengan Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah mengetuai jentera serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 8:27 AM