ANIS (kanan)  bersama teman sealiran.
ANIS (kanan) bersama teman sealiran.
Teks dan gambar Kusyi Hirdan

Anis Farhana Aliman, 24, seperti remaja lepasan universiti yang lain kini menumpukan dirinya dengan dunia baru di alam kerjaya. Dia perlu menyesuaikan diri dengan segala cabaran yang dihadapi saban hari sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Pun begitu, usia muda Anis membuatkan dia tiada bezanya daripada gadis lain sebaya dirinya. Anak jati Kuala Lumpur, sulung daripada tiga beradik, Anis suka mencuba produk kecantikan terkini di pasaran. Normal bagi gadis sebaya itu apabila mereka ingin tahu dan mahu merasa sendiri produk yang menarik perhatian apatah lagi sudah mempunyai wang sendiri.

Selain itu, Anis juga aktif menulis blog dan mula berjinak-jinak penulis blog pada 2009 kerana katanya ia bertepatan dengan minat mendalamnya yang suka menulis.

“Menulis di blog http://www.thethinkerbelle.com asalnya kerana mahu mengasah bahasa Inggeris jadi blog itu saya tulis dalam bahasa Inggeris. Dari dulu lagi saya memang suka menulis, malah saya juga menulis diari,” katanya.

Perjalanan blog Anis sejak dia di zaman universiti sehingga sekarang tentu saja mengalami arus perubahan kematangan.

“Blog saya sekarang dan dulu melalui perubahan demi perubahan, sesuai dengan kedewasaan dan suasana yang saya lalui hari ini.

“Saya memang suka membuat ulasan dan berkongsi pengalaman. Contohnya, saya kongsi pengalaman saya mengenai apa yang boleh dibuat sebaik habis belajar. Saya menulis mengenai lagu kegemaran dan saya buatkan seperti carta.

“Begitu juga perancangan saya untuk menonton filem contohnya, saya senaraikan. Tetapi itu tidak bermaksud saya menonton semuanya. Sekiranya tak sempat dan tiada kelapangan saya tak menonton pun melainkan sekadar melihat trailer filem itu saja. Kemudian apabila saya mula berjinak-jinak dengan alat kecantikan, saya pun mula menulis mengenainya,” ceritanya.

Anis semakin rapat dengan produk kecantikan apabila dia menyertai kumpulan di alam maya The Butterfly Project di www.butterflyprojectmalaysia.com.

“Dari sini setelah bersama The Butterfly Project, saya dan ahli kumpulan yang lain diberi kepercayaan oleh pengasas dan syarikat kecantikan untuk menulis me­ngenai produk mereka di blog kami,” katanya.

Anis yang peramah dan mudah mesra ini ternyata seronok dengan kegiatan sampingan yang dilakukan ketika hujung minggu ini.

“Memang seronok sebab saya sudah dapat mencuba dan menulis mengenai banyak produk kecantikan, sehinggalah ke spa kaki serta makanan dan minuman.

“Ada kalanya saya juga harus mencuba dan menulis mengenai produk yang sangat baru yang belum pernah saya dengar sebelum ini. Risau juga jika produk itu tidak elok jadi saya selalunya berhati-hati dan sering mendapat nasihat daripada emak yang bertugas sebagai sister di Hospital Kuala Lumpur.

“Walaupun sering diberi produk percuma, itu tidak menghalang saya daripada membeli sendiri produk digemari.

“Ada produk yang memang saya sendiri mahu mencubanya, jadi saya tetap membeli dengan duit sendiri dan menulis di blog saya,” katanya.

Bagaimana cara Anis menulis mengenai produk yang dikajinya?

“Sekiranya produk kecantikan saya akan cuba seminggu dua dulu. Tengok kesannya pada kulit. Selain itu, saya juga menulis komen mengenai reka bentuk dan balutannya. Saya tengok sama ada saya suka bau, tekstur dan beberapa aspek lain. Apa yang saya tulis ialah komen biasa sebagai pengguna biasa,” katanya.

Sebenarnya secara peribadi Anis mengaku dirinya tidaklah cerewet mengenai produk yang digunakannya asalkan ia sesuai dengan kulit dan halal.

Walaupun hanya boleh melakukan aktivitinya itu pada waktu lapang di hujung minggu saja di samping kesibukan alam kerjaya, Anis tetap seronok.

“Seronok sebab dapat melakukan apa yang saya suka. Saya suka pada produk kecantikan terutama dari Korea dan Jepun kerana bagi saya, ia lebih bersesuaian dengan kulit orang Asia. Menulis juga perkara yang sangat saya suka. Saya suka menulis perkara yang gembira dan bukan yang sedih atau mengutuk sesiapa. Ia mengenai apa yang saya suka, jadi memang menyeronokkan,” katanya.

Apa yang dibuat Anis juga membuatkan dia mempunyai ramai kawan baru sesama penulis blog berbilang bangsa.

“Saya dapat kawan baru dan ini peluang saya bertukar fikiran, mempelajari perkara baru di samping mengasah diri bercakap bahasa Inggeris,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 2:00 PM