Ostrava, Republik Czech: Bintang pecut Jamaica, Usain Bolt (gambar) mengatasi hujan dan cuaca sejuk sebelum membaiki catatan terbaik musim ini dengan memenangi perlumbaan 200 meter pada kejohanan Golden Spike, awal pagi semalam.

Di bandar timur Czech, Ostrava, juara dunia dan Olimpik berusia 28 tahun itu, yang turut memegang rekod dunia 100 dan 200m, mencatat 20.13 saat, hampir sesaat berbanding rekod dunianya 19.19 dicatat pada 2009.

Dalam penampilan tunggal acara 200m musim ini dan berikutan kecederaan yang membelenggunya pada 2014, Bolt mencatat 20.20s di laman sendiri di Kingston, Jamaica April lalu.

Bolt berkata, dia mahu melakukan catatan bawah 20 saat namun “keadaan tidak mengizinkan dan saya baru kembali daripada kecederaan jadi ia mengambil masa.”

“Bagi saya ia bukannya hari yang sempurna tapi saya gembira keluar tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

“Lebih lama anda berada dalam cuaca sejuk anda lebih bimbang mengenai kecederaan jadi reaksi saya agak perlahan kerana saya tidak mahu terlalu memaksa ketika berlepas.

“Ia berbeza tapi ia satu strategi kerana cuaca sejuk.”

Bolt, yang memenangi enam pingat emas Sukan Olimpik, lapan kejuaraan dunia dan memecahkan rekod dunia beberapa kali, berusaha meningkatkan prestasinya bagi mempertahankan tiga emas pada Kejohanan Dunia di Beijing, Ogos ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:25 AM