ATLAOUI (tengah) dikawal polis ketika dihadapkan ke mahkamah, tahun lalu.
ATLAOUI (tengah) dikawal polis ketika dihadapkan ke mahkamah, tahun lalu.

Jakarta: Sebuah mahkamah di Indonesia menetapkan tarikh 3 Jun ini bagi mendengar rayuan terakhir pesalah dadah warga Perancis yang berdepan hukuman mati.

Keputusan rayuan Serge Atlaoui dijadualkan pada minggu ini, tetapi ditangguhkan kerana ketiadaan ketua panel hakim.

Atlaoui sepatutnya menjalani hukuman mati bersama beberapa pesalah lain pada bulan lalu, tetapi ditangguhkan bagi menunggu keputusan rayuannya.

Menteri Luar Perancis sebelum ini memberi amaran, Jakarta akan menerima padah sekiranya hukuman mati terhadap lelaki itu diteruskan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menolak rayuan pengampunan 60 pesalah dadah yang berdepan hukuman mati.

Seramai 14 pesalah sudah menjalani hukuman mati di hadapan skuad penembak sepanjang tahun ini.

Mahkamah kini meneliti rayuan Atlaoui yang mencabar keengganan Jokowi memberi pengampunan kepadanya.

“Ketua panel hakim sedang berkursus dan kami menangguhkan keputusan ini pada minggu depan,” kata Hakim Indaryadi, kelmarin.

Peguam negara memberitahu itu, rayuan itu saluran undang-undang terakhir Atlaoui.

Atlaoui dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah terbabit dalam satu kilang dadah di Jakarta. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:04 AM