NR muncul juara keseluruhan kolej lelaki SUKOL UiTM 2015.
NR muncul juara keseluruhan kolej lelaki SUKOL UiTM 2015.
Oleh Shahrin Ismail

Shah Alam: Pasukan Non Residen (NR) dan Kolej Mawar dinobatkan juara keseluruhan Sukan Antara Kolej (SUKOL) Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2015 baru-baru ini.

Kejayaan itu menyaksikan mereka meraih wang tunai RM1,000, piala iringan dan hamper.

NR mengungguli saingan kolej lelaki apabila memenangi 12 acara membabitkan bola keranjang, bola sepak pantai, bola tampar, boling padang, catur, petanque, ping pong, tarik tali, tenis, tenpin bowling, basikal bukit dan sofbol.

Mereka mengecewakan Kolej Teratai yang muncul naib juara manakala Kolej Delima ketiga.

Bagi kolej wanita pula, Kolej Mawar mendominasi 11 acara badminton berpasukan, bola tampar, boling padang, larian SUKOL, petanque, ping pong, tenis, ragbi sentuh pantai, memanah, gusti lengan dan orientering.

Kolej Melati naib juara dan Pasukan NR ketiga.

Dalam pada itu Kolej Melati dipilih memenangi Anugerah Pengurusan Sukan Kolej manakala Anugerah Kepimpinan Pelajar milik Muhamad Syahir Mohamad, Kolej Perindu, Anugerah Kepimpinan Staf (Nadimah Abd Rahman, Kolej Teratai), Anugerah Pasukan Ultras Wanita (Kolej Melati) dan Pasukan Ultras Lelaki (Kolej Perindu).

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Haliza Mahayuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:09 AM