SEORANG penumpang mandi di landasan kereta api di Jammu ketika cuaca panas turut melanda wilayah berkenaan, semalam.
SEORANG penumpang mandi di landasan kereta api di Jammu ketika cuaca panas turut melanda wilayah berkenaan, semalam.
Reuters

Hyderabad: Lebih 430 orang mati di dua negeri di India akibat cuaca panas yang menyaksikan suhu mencecah sehingga 50 darjah celsius.

Pegawai memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat memandangkan usaha mengumpulkan data di beberapa kawasan Telangana, negeri paling teruk terjejas masih dilakukan dan tidak ada tanda-tanda menunjukkan keadaan akan bertambah baik.

Sebahagian besar India, termasuk ibu negara New Delhi menghadapi suhu panas hingga membimbangkan kemungkinan bekalan tenaga terputus.

Bagaimanapaun, suhu paling tinggi dicatatkan di Telangana dan negeri bersebelahannya, Andhra Pradesh.

Pihak berkuasa Andhra Pradesh menggesa buruh kasar dan pekerja lain supaya tidak bekerja di luar ketika cuaca panas selepas 246 orang mati, minggu lalu.

“Kebanyakan mangsa adalah mereka yang terdedah kepada matahari secara langsung. Sebahagian besar mereka berusia 50 tahun dan ke atas dan terdiri daripada kelas pekerja,” kata Pesuruhjaya Jabatan Pengurusan Bencana Andhra Pradesh P Tulsi Rani.

Menurutnya, walaupun kematian mula berlaku Isnin minggu lalu, jumlah meningkat mendadak beberapa hari berikutnya.

“Kami meminta mereka berwaspada termasuk menggunakan payung, topi, minum seberapa banyak air dan mengenakan pakaian daripada kain kapas,” kata Rani.

Seramai 188 lagi mati di Telangana sejak April dengan sebahagian besar kematian itu berlaku pertengahan minggu lalu.

Pegawai Jabatan Pengurusan Bencana tempatan D Vani berkata, pihaknya menjangka jumlah itu akan meningkat. Ratusan penduduk miskin mati di kemuncak musim panas di negara itu setiap tahun.

“Suhu panas yang berlaku sekarang lebih tinggi daripada biasa - antara 48 dan 49 darjah celsius,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri Telangana BR Meena.

Pekerja berpendapatan rendah berkata, mereka tidak mampu untuk mematuhi arahan supaya tidak keluar bekerja bagi mengelak cuaca panas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 7:21 AM