PACUAN empat roda polis yang terbabas dalam gaung di Batu 4, Jalan Roban Lama, malam tadi. FOTO ihsan bomba
PACUAN empat roda polis yang terbabas dalam gaung di Batu 4, Jalan Roban Lama, malam tadi. FOTO ihsan bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Saratok: Seorang anggota polis maut manakala rakan setugasnya parah apabila pacuan empat roda Peronda Polis yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Batu 4, Jalan Roban Lama di sini, 10 malam tadi.

Koperal Jumali Awang Sah, 53 meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Koperal Jali Assan, 45 yang memandu kenderaan parah dan dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan lanjut.

Pacuan empat roda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang dinaiki kedua-dua anggota polis itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.

Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Saratok untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari IPD Saratok pada 10.03 minit sebelum satu jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian.

"Anggota Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dan serahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 1:33 AM