TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (empat kanan) melihat model replika selepas melancarkan Perlis Inland Port (PIP) dan Bonded Road di Jalan Ulu Pauh-Padang Besar, Chuping. FOTO Luqman Hakim Zubir
TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (empat kanan) melihat model replika selepas melancarkan Perlis Inland Port (PIP) dan Bonded Road di Jalan Ulu Pauh-Padang Besar, Chuping. FOTO Luqman Hakim Zubir
M Hifzuddin Ikhsan

Padang Besar: Pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan Malaysia-Thailand yang dijangka bernilai lebih RM126 bilion menjelang 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi memberi kelebihan kepada negeri itu memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perdagangan dalam perniagaan rentas sempadan.

Katanya, projek PIP juga mewujudkan nilai tambah kepada projek strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Lembah Agro Chuping (CAV), Zon Ekonomi Agribio (NAEZ) dan Perlis Super Fruits Valley.

"Nilai dagangan terkini Malaysia-Thailand adalah berjumlah lebih RM96 bilion dan sejumlah RM44.2 bilion disumbangkan melalui perdagangan antara sempadan.

"Ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan tenaga kerja," katanya yang melakukan lawatan kerja ke Thailand pada Februari lalu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian PIP dan Insfrastruktur Sokongan yang dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini.

Hadir sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), Mohammad Haris Kader Sultan.

Ismail Sabri berkata, pihaknya komited dalam melaksanakan projek PIP melalui penyediaan tiga infrastruktur luaran utama iaitu jajaran kereta api, jejambat dan 'bonded road' membabitkan peruntukan sebanyak RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Katanya, projek ini bakal mempercepatkan pembangunan rentas wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar, bandar dan sempadan,

sekali gus memastikan pembangunan lebih seimbang dan keterangkuman yang lebih baik.

"NCER kini berdepan prospek pertumbuhan yang cerah dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah adalah antara 6.5 peratus dan 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2022.

"Pelaksanaan program modal insan NCIA juga telah memberi manfaat kepada 67,935 Keluarga Malaysia dari 30 daerah dalam NCER antara tahun 2019 sehingga tahun lalu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, impak PIP bakal dirasai terutamanya CVIA yang bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER melalui peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.

"Walaupun baharu dilancarkan, CVIA berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan yang dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.

"Hasilnya, Perlis kini dilihat bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 1:50 PM