ANGGOTA APMM dalam operasi mencari dan menyelamat. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA APMM dalam operasi mencari dan menyelamat. FOTO ihsan APMM
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Seramai 14 kru dikhuatiri lemas selepas kapal dinaiki terbalik akibat dipukul ombak di 8.6 batu nautika Timur Tanjung Punggai, perairan Pengerang, Kota Tinggi, kira-kira 4.20 pagi hari ini.

Pengarah Operasi Daerah Maritim 7, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, kapal yang berdaftar di Bolivia itu membawa 15 kru iaitu 14 warga China dan seorang rakyat tempatan selain usaha mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dilaksanakan.

"Seorang kru kapal malang berkenaan berjaya diselamatkan oleh kru kapal berdekatan. Kapal berkenaan membawa muatan pasir dari Teluk Ramunia Offshore menghala ke perairan Penggerang.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 7 (APMM) sudah mengarahkan sebuah kapal dan tiga bot untuk operasi SAR yang turut membabitkan Pasukan Gerakan Marin," katanya yang menerima aduan insiden terbabit menerusi pihak Johor Port.

Beliau berkata, misi SAR sedang giat dilaksanakan dengan bantuan pesawat udara APMM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 12:20 PM