SARAVANAN (kanan) merasmikan PS Kuantan di SUKPA, semalam.
SARAVANAN (kanan) merasmikan PS Kuantan di SUKPA, semalam.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjalankan ujian doping ke atas atlet negara yang akan beraksi di Sukan SEA Singapura Jun ini, tidak perlu dianggap ekstrem.

Timbalan Menteri Datuk M Saravanan berkata, langkah itu dilaksanakan untuk membendung gejala tidak sihat dalam kalangan atlet terutama pengambilan bahan terlarang seperti dadah.

Katanya, langkah itu juga dilihat mampu menghindarkan atlet negara daripada terbabit masalah doping sekali gus memastikan mereka benar-benar bersih daripada bahan terlarang sebelum beraksi di temasya sukan berkenaan.

“Jika berlaku insiden pengambilan bahan terlarang di Sukan SEA, pihak seperti ISN (Institut Sukan Negara), persatuan sukan dan pakar serta jurulatih tidak harus dipersalahkan.

“Untuk Sukan SEA Singapura, seramai 510 atlet akan menjalani ujian itu, kali pertama dilaksanakan berbanding sebelum menyertai kejohanan besar seperti Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik yang sebelum ini dilakukan secara rambang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Satelit (PS) Kuantan di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP) Mohamed Rashdan Mohamed Razali.

Mengulas kewujudan PS di negara ini, Saravanan berkata, setakat ini 19 pusat dikendalikan ISN di seluruh negara termasuk dua di Pahang iaitu PS Kuantan dan PS Sekolah Sukan Gambang.

Menurutnya, PS Kuantan yang beroperasi sejak 2010 bukan saja membantu atlet di Pahang tetapi menyediakan kepakaran tambahan kepada Sekolah Sukan Gambang dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.

“Secara tidak langsung ia dapat mewujudkan kumpulan pakar sains sukan yang boleh menyediakan perkhidmatan psikologi sukan, fisiologi, suaian fizikal dan pemakanan sukan.

“Justeru, kemudahan disediakan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bukan saja kepada atlet, malah penggiat sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 9:29 AM