Memang tak senang duduk SS dibuatnya apabila setiap kali lepak makan bersama teman-teman. Bukan apa, ada saja cerita yang disampaikan.

Seorang teman baru-baru ini memaklumkan perihal bekas bapa mentua seorang artis wanita popular ini.

Kisahnya, bekas bapa mentuanya itu sudah mula mengeluh dengan sikap menantu barunya yang juga selebriti. Dahulu dia cukup tak berkenan anaknya berkahwin dengan artis wanita dengan alasan artis tadi tak pandai nak jaga hati keluarga mentuanya.

Apabila anaknya bercerai, dia suka dan segera meminta anaknya itu cari pengganti.

Mula-mula semuanya indah. Kini, menantu baru yang dicanang baik, lemah lembut dan sopan santun itu semakin berubah.

Dalam erti kata lain, apa yang ditunjukkan ketika di awal perkenalan sehingga selepas berkahwin, sekadar lakonan untuk mengambil hati.

SS difahamkan juga, menantu barunya itu mulai rimas dengan sikap keluarga mentuanya.

Jangankan hendak bermalam di rumah keluarga suaminya, singgah menjenguk walau sekejap pun sudah tidak berat hati. Sedangkan untuk pulang ke rumah mereka pasti akan melalui depan rumah ibu bapa suaminya.

Kata teman SS itu, si bapa mentua tadi bukan nak sangat dijenguk atau dilawati, tetapi dia teringin nak melihat cucu barunya.

Sekarang ini anaknya sering balik seorang diri. Apabila ditanya mana anak dan isteri, jawapan anaknya mudah iaitu tak boleh bawa bersama kerana sibuk dengan urusan kerja.

Sekali dua alasan itu, si bapa tadi boleh terima. Lama kelamaan, dia mula faham.

Kata teman SS juga, timbul penyesalan dalam diri bekas mentua artis wanita itu kerana sering memburuk-burukkan namanya.

SS: Jangan terlalu bongkak dan sombong kerana kelak memakan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 9:02 AM