Reuters

Liverpool, England: Kapten Liverpool Steven Gerrard memohon maaf dibuang padang selepas hanya 38 saat berada di atas padang ketika tewas 1-2 kepada Manchester United kelmarin.

Gerrard beraksi sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua namun menerima kad merah atas kesalahan memijak kaki pemain tengah United dari Sepanyol Ander Herrera.

Dengan Gerrard yang bakal meninggalkan Liverpool untuk menyertai kelab MLS LA Galaxy pada hujung musim ini, ia dijangka penampilan terakhirnya bersama kelab Merseyside itu menentang musuh tradisi.

“Saya harus menerimanya, keputusan itu tepat. Saya mengecewakan rakan sepasukan dan penyokong. Saya bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Gerrard kepada Sky Sports.

“Saya tidak tahu apa yang menyebabkan insiden itu berlaku. Mungkin ia tindak balas kepada terjahan awal.

“Saya tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenai hal ini. Saya ke sini cuma ingin memohon maaf kepada rakan sepasukan dan penyokong.”

Gerrard hanya memanaskan bangku simpanan oleh pengurus Brendan Rodgers selepas kembali pulih daripada kecederaan namun Liverpool masih mampu mengekalkan rentak kemenangan tanpa kehadirannya.

Dengan United menguasai sepenuhnya aksi 45 minit pertama di Anfield, Gerrrad dimasukkan untuk menambahkan kekuatan Liverpool yang tampak kurang menjadi pada babak pertama.

Dia melakukan terjahan bersih terhadap Juan Mata sekali gus menaikkan semangat penyokong Liverpool namun kemudian nasib tidak menyebelahinya kerana mengasari Herrera.

Mata kemudian menjaringkan gol peribadi dan kedua United selepas insiden itu menerusi sepakan voli menarik.

Ketika beraksi dengan 10 pemain, Liverpool cuba bangkit dengan gol Daniel Sturridge manakala United gagal menambah jaringan selepas sepakan penalti Wayne Rooney diselamatkan Simon Mignolet.

Sementara itu pengurus Liverpool Rodgers menerima permohonan maaf Gerrard itu.

“Ia sikap yang baik apabila dibuang padang dan tampil memohon maaf namun dia mungkin sangat kecewa melihat aksi kami pada babak pertama,” kata Rodgers.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:36 AM